Menurut Pe­ngurus Besar Ga­muda Land Ho Chi Minh City, Wyeren Yap Vooi Soon, projek terbabit dijangka menyumbang kira-kira AS$110 (RM474.6 juta) kepada peroleh­an kumpulan pada tahun ini.

Beliau berkata, Celadon City membabitkan kawasan seluas 82 hektar merangkumi pembinaan lebih 7,500 apartmen dan kondominium berharga bermula daripada AS$100,000 (RM440,000) sebuah, unit komersial dan pelbagai kemudahan lain termasuk landskap.

Katanya, projek berkenaan menyasarkan pembeli khususnya golongan pertengahan dan atasan di bandar ini yang mempunyai lebih sembilan juta penduduk.

“Setakat ini, projek terdiri daripada lima presint ini telah siap kira-kira 50 peratus termasuk pembinaan unit-unit komersial dan landskap.

“Sambutan yang di­te­rima sangat meng­galakkan dengan le­bih 50 peratus tempahan telah diterima setakat ini,” katanya dalam taklimat media mengenai projek berkenaan di sini semalam.

Menurut Vooi Soon, Celadon City merupakan pembangunan bandar bercampur pertama di bandar ini bakal menempatkan pelbagai kemudahan seperti institusi pendi­dikan, perkampungan budaya, kompleks sukan dan rangkaian pengangkutan awam.

“Projek ini yang dijangka menempatkan lebih 25,000 peng­huni turut menempatkan pasar raya Aeon pertama di Vietnam.

“Pembinaan pasar raya ini pada awalnya membabitkan kawasan seluas 80,000 meter persegi.

“Bagaimanapun, keluasannya ditambah sekali ganda berikutan permintaan yang tinggi daripada pasaran.

“Ini menunjukkan keyakinan terhadap pembangunan Celadon City,” katanya.

Jelas beliau lagi, melihat kepada prospek pembangu­n­an hartanah di bandar ini, syarikat turut merancang mengembangkan lagi pelaburan di sini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan peruntukan yang disediakan bagi tujuan tersebut. – UTUSAN