Projek seluas 274 hektar di koridor selatan bandar itu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) AS$3.5 bilion (RM15.15 bilion), dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Pengarah Urusan Gamuda Land Vietnam, Chow Chee Fan berkata, projek berkenaan terbahagi kepada tiga parcel iaitu Gamuda City Centre, Gamuda Lake dan Gamuda Garden.

Beliau berkata, projek yang sedang dibangunkan ialah Gamuda Garden membabitkan pembinaan rumah kediaman atas tanah, vila, Semi-D, apartmen, hospital dan institusi pendidikan berkonsepkan perbandaran di kawasan seluas 78 hektar.

“Projek dengan GDV AS$850 juta (RM3.68 bilion) dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun. Setakat ini sebanyak 1,000 unit kediaman telah siap dan telah didiami,” katanya di sini hari ini.

Menurut Chee Fan, projek Gamuda Lake pula membabitkan pembangunan rumah kediaman atas tanah, apartmen dan komersial dengan GDV sebanyak AS$970 juta (RM4.2 bilion).

Projek Gamuda Lake jelasnya, akan memulakan pembinaan pada tahun 2020 di kawasan seluas 75 hektar.

“Gamuda City Centre pula dengan GDV AS$1.68 bilion (RM7.27 bilion) membabitkan pembangunan komersial, kediaman (terma­suk 3,000 buah apartmen) dan hotel lima bintang dengan keluasan keseluruhan projek 121 hektar.

“Projek ini akan turut menempatkan pasar raya besar dengan Gamuda Land kini sedang berbincang dengan beberapa jenama termasuk Aeon,” jelasnya.

Chee Fan berkata, Gamuda Land yang mula memasuki sektor hartanah Vietnam pada 2007 menekankan pembangunan komuniti dengan aspek jaminan kese­­­lamatan di dalam projek yang dilaksana­kan bagi keselesaan penghuni.

Menurut beliau, kehadiran Gamuda Land di Hanoi turut menarik kehadiran syarikat hartanah lain untuk terlibat sama di dalam pembangunan sektor hartanah tempat.

“Penyertaan Gamuda Land di Vietnam adalah pelaburan strategi jangka panjang syarikat,” jelasnya. – UTUSAN