Pengarah Urusan institut itu, Datuk Charon Mokhzani berkata, sejak lebih 50 tahun lalu paras produktiviti pekerja sentiasa me­lebihi paras gaji yang diberikan majikan, dan sejak itu juga pe­ningkatan pembayaran gaji sentiasa tidak setimpal dengan pertumbuhan produktiviti pekerja.

Kata beliau, keadaan itu membuatkan gaji dan faedah yang dirasai oleh pekerja hanya sekitar 33 peratus sahaja daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala selebihnya dinikmati syarikat bersama pemegang-­ ­peme­gang kepentingan sesebuah entiti tersebut.

“Dalam sesebuah negara, cara untuk meningkatkan pendapatan isi rumah adalah melalui kenaikan gaji. Pada masa sama juga, kerajaan boleh mempromosikan pelaburan-pelaburan yang menggalakkan peluang pekerjaan dalam bidang berkemahiran tinggi yang dapat memberikan pendapatan yang baik kepada rakyat.

“Semuanya ini merupakan cadangan kajian ini kepada kerajaan, ia bukanlah perlu dilaksanakan esok tetapi untuk tempoh 10 hingga 15 akan datang dalam usaha meningkatkan kadar pembayaran gaji pekerja,” katanya semasa membentangkan laporan Keadaan Isi Rumah di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Menurut kajian itu lagi, gaji yang rendah itu menunjukkan kurangnya kuasa rundingan dalam kalangan pekerja tidak berkemahiran tinggi terhadap majikan serta kebergantungan sesebuah entiti terhadap pekerja bergaji rendah.

Dalam pada itu, Nor Mohamed berkata, satu cara bagi meningkat pendapatan adalah melalui latihan dan seterusnya dapat menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi.

Kata beliau, sekalipun tergolong sebagai pekerja berkolar biru, ia tidak semestinya menjanjikan gaji rendah jika sesuatu pekerjaan itu melibatkan kemahiran yang tinggi.