Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor-Gabenor Bank Pusat G20 turut yakin pertumbuhan akan kembali stabil antara lain didorong oleh peningkatan kadar faedah dalam sesetengah ekonomi negara maju.

“Dasar monetari akan terus menyokong aktiviti ekonomi selaras dengan mandat bank-bank pusat, tetapi dasar kewangan semata-mata tidak boleh membawa kepada pertumbuhan yang seimbang.

“Sejajar dengan prospek ekonomi yang bertambah baik kita dapat melihat beberapa ekonomi negara maju akan mengetatkan dasar monetari mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Timbalan Perdana Menteri Turki, Cevdet Yilma, terdapat beberapa perbezaan pendapat mengenai keputusan Perbendaharaan Amerika Syarikat kemungkinan menaikkan kadar faedahnya.

“Ada yang berpendapat Amerika Syarikat (AS) perlu membuat keputusan secepat mungkin dan ada yang berpendapat AS perlu menangguhkannya ,” katanya.

Pemimpin kewangan G20 berkata, mereka juga akan mengelakkan apa-apa kejutan atau pergerakan pasaran yang berlebihan bagi menghadkan turun naik aliran modal daripada negara-negara ekonomi baharu ke dalam dolar.

“Kami akan sentiasa berhubung dengan jelas bagi setiap tindakan terutamanya di tengah-tengah keputusan dasar monetari dan dasar-dasar utama yang lain, untuk mengurangkan limpahan negatif, mengurangkan ketidakpastian dan menggalakkan ketelusan,” katanya.

Kebimbangan mengenai pergolakan yang mungkin disebabkan oleh kenaikan kadar AS turut dikuatkan dengan kebimbangan pelabur ke atas kelembapan ekonomi di China yang kini merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia.

G20 berkata, mereka turut membincangkan langkah China menurunkan nilai yuan pada Ogos lalu dan sebahagian delegasi menganggap ia sebagai satu langkah penjajaran semula kadar pasaran dan bukan satu langkah untuk membantu eksport.

Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde berkata, ia merupakan satu transformasi sukar yang terpaksa dilakukan oleh China.

“Tidak menghairankan bahawa terdapat kesan-kesan terhadap tindakan tersebut, ia bukan satu proses yang sempurna lancar, dan saya rasa kami telah menerima penjelasan yang jelas mengenai tindakan China itu,” katanya.– REUTERS