Perkembangan internet tidak dinafikan membawa arus perubahan dalam dunia saham yang memerlukan seseorang pelabur dan pedagang mempunyai ilmu analisis teknikal mahupun fundamental.

Jika dibandingkan pada 20 tahun dulu, pelabur dan pedagang saham tidak mengambil kira faktor-faktor yang mempengaruhi pasaran saham, apatah lagi pendekatan teknikal mahupun fundamental sebuah syarikat tersenarai

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh juga menidakkan pendekatan yang digunakan oleh pelabur dan pedagang zaman dulu dalam membuat keputusan beli dan jual saham iaitu menggunakan beberapa faktor selain pendekatan teknikal dan fundamental.

Beberapa faktor tersebut ialah seperti berikut:-

  • Jumlah dagangan ke­se­luruh­an pasaran.
  • Jumlah dagangan setiap individu saham.
  • Harga tertinggi dan terendah yang pernah dicapai oleh sesuatu saham syarikat.
  • Kelakuan atau corak pergerakan sesuatu saham syarikat tersenarai.
  • Bulan-bulan tertentu yang mencorakkan trend pasaran dan sebagainya.

Maka, dengan keterangan ini, saya telah menjawab pertanyaan yang diajukan tentang apakah pendekatan yang saya gunakan dalam meramal pergerakan saham. Jika kita rumuskan dalam bentuk peratus­an, saya simpulkan seperti di bawah ini:

  • Sebagai pelabur jangka masa panjang; 90 peratus adalah fundamental.
  • Sebagai pedagang saham aktif; 60 hingga 70 peratus teknikal dan 10 hingga 20 peratus adalah fundamental.

Tetapi, sekiranya seseorang itu agak lemah untuk memahami ilmu-ilmu teknikal dan membuat kajian berdasarkan fundamental sesebuah syarikat tersenarai, adakah ia tidak boleh terlibat di dalam pasaran saham?

Jika boleh, pendekatan atau cara apakah yang terbaik bagi kategori ini? Kerana faktor umur juga mempengaruhi daya kefahaman seseorang untuk memahami ilmu-ilmu analisis teknikal dan fundamental.

Jawapan saya ialah, masih ada jalan untuk meraih keuntungan di pasaran saham kepada yang ingin melibatkan diri secara aktif dalam melakukan urusan beli dan jual saham walaupun tidak dapat mengha­damkan atau faham sepenuhnya ilmu-ilmu teknikal dan fundamental.

Ini kerana dua bidang itu sa­ngat luas dan sekiranya memerlukan seseorang menjadi pakar dalam dua bidang tersebut, agak mustahil kerana sebenar­nya pasaran saham negara ini masih di peringkat yang sesuai disertai oleh semua golongan umur dan peringkat.

Berbeza sekiranya kita melibatkan diri di bursa-bursa ­asing yang mana kebanyakan pelabur dan pedagang di sana mempu­nyai persiapan yang jitu dari segi ilmu teknikal dan fundamental kerana kita bersaing dengan pelabur dan pedagang seluruh dunia.

Ilmu teknikal telah diserapkan beribu-ribu tahun seperti batang lilin Jepun yang digunakan oleh pedagang beras Jepun.

Sama juga seperti cara membeli saham terbitan permulaan atau IPO yang mana kita tidak dapat membuat keputusan untuk menjual saham IPO pada hari pertama bersandarkan kepada pendekatan teknikal kerana graf pergerakan saham belum terbentuk dengan sempurna.

Ia akan terbentuk selepas 14 hari dagangan dan itu pun belum lagi sempurna untuk membuat kajian yang terperinci. Ia memerlukan masa yang lama seperti sejarah sesuatu saham syarikat yang dikaji sekurang-kurangnya 3 hingga 5 tahun selepas disenaraikan.

Saham IPO hanya boleh dikaji daripada prospektus yang diterbitkan semasa saham IPO itu ditawarkan kepada orang ramai.

Rumusannya, untuk membuat permohonan saham IPO ini tidak dinafikan perlu membuat kajian asas-asas fundamental serta faktor-faktor bukan fundamental seperti sentimen semasa hari penyenaraian IPO tersebut dan sebagainya. Untuk membuat keputusan melanggan saham IPO ini, pembaca boleh merujuk kolum Cikgu Saham pada keluaran tahun lepas.

Ramai yang beranggapan bahawa apabila mereka telah menguasai ilmu teknikal dan fundamental ini, ia telah mela­yakkan mereka menjadi ‘pakar’. Jika begitu, bagaimana pula mereka yang tidak dapat menguasai dua bidang ini dengan baik?

Walaupun seseorang itu dapat menguasai ilmu teknikal mahupun fundamental, ia belum tentu lagi menjadikan seseorang itu pakar dalam membuat keputusan jual beli saham sekiranya dia tidak terjun ke dalam dunia saham sebenar secara aktif.

Kita boleh meramalkan se­suatu pergerakan saham, tetapi ia tidak semestinya terjadi se­perti yang kita lihat atau jangkakan lebih-lebih lagi kita baru saja celik saham.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.