Ayah juga mengusahakan 11 relung bendang yang disewa daripada orang kampung. Di kampung ayah yang lebih dikenali sebagai Pak Abu agak popular kerana dialah yang pertama melaksanakan kaedah penanaman padi tabur terus.

Masih aku ingat ketika tuaian padi pertama, bagaikan pesta orang ramai berkumpul untuk melihat padi dituai menggunakan mesin padi dengan bantuan khidmat nasihat Pertubuhan Peladang Kawasan Bandar Baharu, Kedah.

Memang mengejutkan penduduk kampung kerana hasil tuaian meningkat sekali ganda dan sejak hari itu semakin ramai pesawah menggunakan kaedah tabur terus. Ada yang berjaya dan tidak kurang juga mengalami kerugian yang teruk.

Aku yang ketika itu masih belajar di pusat pengajian tinggi akan bertindak sebagai akauntan ayah dengan mengira modal dan hasil yang diperolehi. Walaupun pendapatan berlipat ganda itu akhirnya selepas dicampur, ditolak dan dibahagi ayah hanya dapat pahala. Hendak dikira gaji RM10 seharipun tidak lepas.

Tapi ayah tidak pernah berputus-asa saban musim dia akan membanting tulang di sawah, menurut ayah paling tidaknya apabila dibayar subsidi padi oleh kerajaan terkumpul juga beberapa ribu ringgit dan bukannya mudah untuk petani mengumpul duit mencecah ribuan ringgit.

Dia meletakkan sasaran untuk menunaikan haji daripada duit titik peluhnya di sawah. Alhamdulillah ia tercapai sebelum ayah menghembuskan nafas terakhir.

Tetapi kehidupan petani pada masa ini banyak berbeza. Sebab itu apabila harga durian Musang King mencecah RM130 sekilogram, aku tersenyum, walaupun ramai yang marah. Kerana aku tahu disebaliknya ialah petani yang pastinya tersenyum puas dengan pendapatan yang lumayan dan bukan lagi hanya mendapat pahala kerana berbudi kepada tanah.

Kalaulah Pak Abu masih hidup di zaman ini, dia tentu bukan sahaja dapat menunaikan haji, bahkan pastinya dapat melancong ke Eropah.

Berjalan-jalan di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang berlangsung di Maeps Serdang aku dapat melihat wajah-wajah puas mereka yang bertungkus-lumus di dalam bidang pertanian seperti ayah kerana kini ramai yang telah bergelar orang kaya, bahkan jutawan.

Bidang pertanian boleh mencipta sumber kekayaan baharu untuk rakyat. Petani, penternak dan nelayan juga mampu hidup senang, mampu menjadi kaya. Malah lebih ramai jutawan baru negara menerusi pertanian dan industri asas tani.

Pertanian tidak lagi tertumpu kepada penanaman tradisional tetapi banyak bidang baharu boleh diterokai seperti sarang burung walit, herba dan rumpai laut sememangnya mendapat sambutan yang luar biasa dan merupakan produk-produk premium negara.

Dusun durian kini ditanam dengan baka durian seperti Musang King, Black Thorn dan Udang Merah sudah masyhur dan mendapat permintaan yang amat tinggi malah dieksport kerana berkualiti tinggi dan rasanya yang begitu enak.

Pada tahun 2016, eksport durian ke luar negara adalah sebanyak RM74.3 juta, berbanding RM64.9 juta pada tahun 2015. Dengan peningkatan permintaan dari China jumlah itu dijangka terus meningkat.

Semasa meninjau di HPPNK 2017 saya juga melihat buah melon manis dari Terengganu yang kini dijadikan ikon buah-buahan di negeri berkenaan sebagaimana Perlis berjaya mempopularkan mempelam harumanis.

Bagi tanaman kelapa, terdapat variety kelapa Careca dan Matag yang menghasilkan buah sehingga 35,000 biji sehektar dan menjadikan industri penanaman kelapa ini berupaya menjadi sumber kekayaan baharu.

Jadi tidak hairanlah anak muda yang menamatkan pengajian di peringkat tinggi kini semakin cenderung menceburi bidang pertanian, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Program Malaysia Food Festival (MFF) 2017 yang julung kali diadakan adalah satu usaha yang amat baik oleh Kementerian Pertanian bagi mempromosikan makanan dan keluaran pertanian tempatan.

Ramai peserta yang terkejut dengan sambutan yang sangat luar biasa walaupun pada hari pertama festival diadakan. Sehingga gerai yang menyajikan masalah lemak cili api dan gerai asam pedas kehabisan nasi. Jadi mereka perlu lebih bersedia untuk hari seterusnya kerana dijangka tapak berkenaan akan diserbu sekali ganda lebih ramai.

Yang menarik perhatian saya makanan juga dikacuk, contohnya keropok lekor dikacuk dengan curros makan kegemaran `mat saleh’ di Australia.

Esok dan luas pula diadakan jualan 3 tan ikan segar dengan diskaun 50 peratus oleh LKIM. Satu kejutan yang memang tidak pernah berlaku. Jangan lepaskan peluang ini.