Firma penarafan itu berkata, unjuran itu dibuat bersandarkan prestasi eksport yang lemah dan aktiviti pelaburan yang perlahan, namun ia masih berada di hadapan berbanding negara-negara jiran.

“Purata pertumbuhan KDNK untuk tempoh lima tahun pada akhir 2018 adalah 5.2 peratus berbanding median negara serantau pada kadar 3.3 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Firma penarafan itu turut mengesahkan penarafan penerbit mata wang asing jangka panjang Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) Malaysia pada ‘A-’ dengan unjuran stabil.

Katanya, kedudukan ‘A-’ mencerminkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi daripada median negara-negara serantau dan kedudukan pemiutang luaran bersih yang disokong oleh lebihan akaun semasa yang mantap dan aset luaran yang besar.

Ujarnya, penarafan itu dikekang oleh hutang kerajaan yang tinggi, tahap pendapatan perkapita yang rendah dan standard tadbir urus yang lemah berban­ding negara-negara jiran.

“Kerajaan PH cuba melaksanakan banyak janji pilihan ra­yanya selepas berkuasa pada Mei 2018, terutama pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan semakan se­mu­la projek-projek infrastruktur. Ia juga memberi lebih banyak maklumat mengenai dasar ma­k­­­roekonomi negara dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan pada awal November lalu.

“Sasaran fiskal jangka sederhana Bajet 2019 adalah lebih rendah berbanding kerajaan terdahulu, sebahagian besarnya menjangkakan kerugian hasil bersih sebanyak satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan pemansuhan GST yang digantikan dengan cukai jualan dan per­khidmatan (SST).

“Defisit yang lebih meluas dan tahap hutang adalah negatif untuk profil kredit Malaysia, tetapi diimbangi sedikit dengan langkah-langkah yang diumumkan dalam belanjawan tersebut untuk meningkatkan ketelusan fiskal dan pengurusan hutang awam,” katanya.

Fitch berkata, sasaran defisit belanjawan 2018 telah dise­mak semula kepada 3.7 peratus daripada KDNK berbanding 2.8 peratus sebelum ini, dengan mengambil kira pengembalian cukai satu kali dan perbelanjaan barang-barang tertentu yang sebelum ini di luar anggaran yang menambah sehingga 1.4 peratus daripada KDNK.

Katanya, kerajaan bagaima­napun berjaya mencapai sasaran defisit 2018 yang disemak, disokong oleh kutipan SST lebih tinggi daripada jangkaan yang mengimbangi kutipan cukai pendapatan korporat lebih rendah.

Sementara itu katanya, Belanjawan 2019 menyasarkan defisit 3.4 peratus daripada KDNK pada 2019 dan tiga peratus daripada KDNK pada 2020.

“Pihak berkuasa Malaysia menjangkakan dapat menampung sasaran defisit 2019 mereka melalui dividen yang lebih tinggi daripada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) serta beberapa langkah-langkah pendapatan tambahan termasuk cukai hartanah yang lebih tinggi dan peningkatan duti setem serta pengenalan cukai pelepasan.

“Fitch melihat risiko penurunan ke sasaran defisit 2019. Ini disebabkan Belanjawan 2019 yang dibuat berdasarkan pada andaian harga minyak mentah sebanyak AS$70 (RM285.40) setong, lebih tinggi daripada unjuran Fitch sebanyak AS$65 (RM265.12) setong,” katanya.

Firma itu juga berkata, Belanjawan 2019 juga dibuat berdasarkan pelaksanaan langkah penambahan pendapatan yang mungkin menghadapi kekangan politik dan pada andaian pertumbuhan yang optimis.

“Walau bagaimanapun, Fitch menganggap pengurangan per­belanjaan akan mengimbangi sebarang kekurangan pendapatan dan meramalkan defisit kerajaan sebanyak 3.4 peratus daripada KDNK pada 2019 selari dengan sasaran kerajaan Malaysia,” katanya.