Firma penarafan itu berkata, kedudukan ‘A-’ mencerminkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi daripada median negara-negara serantau dan kedudukan pemiutang luaran bersih yang disokong oleh lebihan akaun semasa yang mantap dan aset luaran yang besar.

Ujarnya, penarafan itu dikekang oleh hutang kerajaan yang tinggi, tahap pendapatan per kapita yang rendah dan standard tadbir urus yang lemah berbanding dengan negara-negara jiran.

“Kerajaan Pakatan Harapan cuba melaksanakan banyak janji pilihan rayanya selepas berkuasa pada Mei 2018, terutama pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan semakan semula projek-projek infrastruktur, ia juga memberi lebih banyak maklumat mengenai dasar makroekonomi negara dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan pada awal November lalu.

“Sasaran fiskal jangka sederhana Belanjawan 2019 adalah lebih rendah berbanding kerajaan terdahulu, sebahagian besarnya menjangkakan kerugian hasil bersih kira-kira satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada penyingkiran GST yang digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Defisit yang lebih meluas dan tahap hutang adalah negatif untuk profil kredit Malaysia, tetapi diimbangi sedikit dengan langkah-langkah yang diumumkan dalam bajet untuk meningkatkan ketelusan fiskal dan pengurusan hutang awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE