Melalui perjanjian yang dimeterai itu, beberapa syarikat pengeluar komponen automotif yang bernaung di bawah Dewan Perniagaan Antarabangsa Komponen Automotif Ningbo akan membentuk usahasama dengan Mobile Starhill untuk membangunkan kawasan seluas 40.47 hektar yang dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Pembangunan yang dirancang itu juga dijangka bakal mewujudkan sebanyak 10,000 peluang pekerjaan.

Hadir menyaksikan majlis tersebut Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu; ahli jawatankuasa Setiausaha Daerah Yinzhou, Chen Guojun; ahli Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa China, Chai Lida; Setiausaha Agung Persatuan Komponen Auto Ningbo, Wang Hong; Pengerusi Dewan Perniagaan Antarabangsa Komponen Automotif Ningbo, He Yeming dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Mohd. Ariff Yeop Ishak.

Sementara itu, Mobile Starhill diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Goh Tian Chuan.

Pada 2 Ogos lalu, Mobile Star­hill dan PKNP menandatangi perjanjian kerjasama untuk membangunkan Hab Mega Komponen Auto Bersepadu di Tanjung Ma­lim yang terletak berhampiran de­ngan Proton City.

Hab yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar mencecah RM7 bilion ini akan mengendalikan pengeluaran, pemasangan dan penghantaran sistem serta modul automotif.

Sementara itu, Ahmad Faizal ketika berucap pada majlis itu berkata, pihaknya mengalu-alukan usahasama pelaburan tersebut yang akan memacu pemba­ngunan ekonomi di Tanjung Malim.

Beliau berkata, pembangunan hab ini juga bertujuan menyokong perancangan pengeluar kereta terkemuka China, Geely serta Proton untuk menerokai pasaran di rantau Asia Tenggara dengan menumpukan kepada kenderaan pemanduan di sebelah kanan, selain memenuhi permintaan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan lain.

Menurutnya, Pembangunan Hab Mega Komponen Auto Bersepadu di Tanjung Malim dan infrastruktur berkaitan dijangka mampu mengeluarkan sehingga 500,000 buah kenderaan setahun bagi pasaran automotif rantau ASEAN yang mempunyai populasi 600 juta orang.

“Saya memberi sokongan penuh kepada usaha ini yang dijangka akan mewujudkan 10,000 pekerjaan baharu di Perak, khususnya di Tanjung Malim, seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Perak dan Malaysia.

“Saya berharap kerjasama ini akan menjadi platform untuk menarik penyertaan lebih ramai pemain industri komponen automotif dari kalangan 200 ahli Dewan Perniagaan Antarabangsa Komponen Kenderaan Ningbo Yinzhou,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga akan memulakan langkah untuk memperkenalkan insentif pengecua­lian cukai untuk pelaburan strategik dan juga geran untuk latihan teknikal dan kejuruteraan untuk tempoh di antara lima hingga sepuluh tahun.