Fiesta Labur PNB yang akan diadakan bermula 28 September hingga 1 Oktober 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) turut menyediakan pelbagai hadiah menarik bernilai keseluruhan RM150,000 untuk dimenangi pengunjung.

Antara hadiah cabutan bertuah yang menunggu pengunjung adalah unit amanah ASNB, barangan elektrik, gajet dan pelbagai hadiah lain.

Program yang kali kedua dianjurkan itu bertujuan untuk me­nyampaikan maklumat berkaitan pelaburan dalam suasana santai bersama-sama para peserta dan orang ramai.

Pendekatan itu bertepatan de­ngan konsepnya sebagai satu program pelaburan berteraskan hiburan berinformasi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, Fiesta Labur PNB adalah salah satu usaha PNB untuk mendidik pelabur dan bakal pelabur berkaitan perancangan kewangan dan pelaburan masa depan.

“Matlamatnya adalah untuk meng­himpunkan pelbagai program menarik di bawah satu bumbung bagi membolehkan orang ramai bersantai sambil mendapatkan ilmu mengenai pelaburan.

“ASNB juga akan menyampaikan mesej mengenai kelebihan melabur dan berkongsi ilmu asas pelaburan seperti Kuasa Kompaun dan Rule of 72 supaya pengunjung memahami bahawa pelaburan itu tidaklah rumit,” katanya.

Fiesta Labur PNB mengumpulkan semua program didik labur­nya seperti Kuiz Pelaburan PNB untuk empat kategori iaitu Badan Beruniform, Sekolah Menengah, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Jamboree untuk ahli Kelab Pelabur Bijak PNB dan Persembahan Seni Kreatif serta Kem Perancangan Kewangan Kanak-Kanak PNB untuk pelajar sekolah rendah.

Fiesta Labur PNB akan diras­mikan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada 28 September ini. Ia dijangka dapat menarik lebih 15,000 pengunjung.

Mohammad berkata, pelbagai program menarik telah diatur dalam usaha memberi ilmu berguna kepada masyarakat antaranya bengkel ‘Kuasai Kewangan Peribadi Anda’ yang akan membincangkan empat topik menarik iaitu Pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB), Peranca­ngan Pelaburan Emas, Perancangan Pelaburan Hartanah dan Perancangan Harta Pusaka yang antaranya mengundang sifu hartanah, Ahyat Ishak sebagai penceramah.

Pengunjung juga akan diajar cara berjimat dalam kehidupan melalui demonstrasi masakan sihat dan tata rias dengan kos yang berpatutan. Bagi demontrasi masakan, ia akan diadakan bersama Chef Adu Amran.

Turut diadakan ada­lah Kem Peranca­ngan Kewangan Kanak-Ka­nak khusus untuk mereka yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Melalui program tersebut, ASNB akan mendidik kanak-kanak me­ngenai nilai wang, kepentingan menabung dan melabur.

“Kanak-kanak juga berpeluang bertemu dengan pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil yang diundang untuk memeriahkan sesi ‘Ceria Bersama Pak Nil’ bagi berkongsi pengalaman dan nasihat bagaimana untuk mengurus wang dengan bijak,” katanya.

Mohammad berkata, kaunter Perkhidmatan dan Pe­rancangan Kewangan ASNB turut dibuka untuk memudahkan pe­ngunjung me­labur dan berurusan dengan ASNB.

“Orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi Fiesta Labur PNB dan menyertai program-program ilmiah, selain dapat menge­tahui rahsia kejayaan persona­liti popular seperti Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida dan Datuk Aliff Syukri serta berhibur dengan artis-artis popular seperti Ziana Zain, Aiman Tino dan Wany Hasrita,” katanya.

Fiesta Labur PNB akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 9 malam pada 28 September sehingga Sabtu 30 September dan dari pukul 9 pagi hingga 1 petang pada 1 Oktober 2017. Masuk adalah percuma.