Menurut sumber itu, ­kedua-dua FGV dan Tabung Haji sedang bekerjasama de­ngan seorang penasihat untuk mengukur potensi minat pembeli di Trurich Resources Sdn. Bhd., yang memiliki 42,000 hektar ladang kelapa sawit di Kalimantan.

“Mereka mungkin berusaha untuk menilai Trurich sebanyak AS$1 bilion (RM4.13 bilion) termasuk hutang,” menurut sumber yang tidak mahu dikenali.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang berusaha untuk membersihkan lembaran imbangan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan setelah skandal global tercetus daripada kerajaan sebelumnya dalam dana pelaburan 1MDB.

Sejak berkuasa dalam ­kemenangan pilihan raya tahun lepas, Dr. Mahathir berjanji untuk meningkatkan ketelusan di firma berkaitan kerajaan dan meneliti setiap urusan perniagaan mereka sebagai sebahagian daripada usaha anti rasuah.

Menurut Bloomberg, perjanjian itu akan membantu Trurich melepaskan aset yang menjadi subjek perdebatan. Trurich pada Disember lalu berkata, telah memfailkan laporan polis yang mendakwa bekas pengurusan kanan Tabung Haji telah menipu syarikat dengan membuat pembayaran lebih bagi pembelian tanah di Indonesia antara 2008 dan 2009.

Namun, eksekutif syarikat tidak menjawab secara terbuka terhadap tuduhan tersebut.

“FGV dan Tabung Haji belum membuat keputusan muktamad mengenai sama ada untuk menjual, dan mereka mungkin memutuskan untuk menyimpan aset itu jika mereka tidak boleh mendapatkan harga yang menarik,” kata sumber itu lagi.

Wakil FGV dan Tabung Haji bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan tersebut, sementara Trurich tidak menjawab panggilan.

­Disember lalu, Tabung Haji bersetuju memindahkan aset tidak menguntungkan miliknya yang bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Pengambilalihan itu, katanya, akan membantu memulihkan kunci kira-kira lembaga berkenaan dengan mengimbangi pelaburan ekuiti dengan kerugian tidak nyata yang ketara.

FGV mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM208.8 juta pada suku keempat tahun lepas, berbanding pendapatan bersih RM50.4 juta tahun sebelumnya.

Syarikat itu kini menumpukan pada usaha melaksanakan kawalan baharu untuk membawa prestasi perladangannya sejajar dengan pemain besar lain dalam industri, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Haris Fadzilah Hassan pada Februari lalu.

Beberapa ladang akan dijual di tengah-tengah ramalan bahawa harga minyak sawit mentah akan pulih pada akhir tahun ini.

Sime Darby Plantation Bhd. telah menimbangkan penjualan saham dalam unit Papua New Guinea selain turut mengkaji semula operasi di Liberia. menurut laporan Bloomberg News tahun lalu. – AGENSI