Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Zakaria Arshad berkata, FGV telah menerima Pensijilan Prinsip dan Kriteria (P&C) RSPO untuk lapan buah kompleks kilangnya pada penghujung tahun 2017.

“Pada 2018, kami menyasar untuk mengesahkan pensijilan bagi lapan buah kompleks kilang menjelang Mac dan le­bih daripada 30 buah kompleks kilang yang akan diaudit oleh RSPO dan MSPO menjelang akhir Di­sember,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Mei 2016, walaupun kekal sebagai ahli RSPO, FGV menarik diri secara sukarela semua pensijilan P&C RSPO kompleks kilangnya dan mengakui terdapat isu-isu buruh dan sosial sepanjang rantaian bekalan yang perlu ditangani.

Zakaria berkata, lapan buah kompleks kilang yang setakat ini telah diperakui dijangka menghasilkan lebih 200,000 tan metrik (MT) Minyak Sawit Lestari Diperakui (CSPO) dan hampir 60,000 MT Mi­nyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK).

Kata beliau, selain manfaat premium yang ditawarkan, FGV berpeluang menembusi pasaran Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Utara, serta pelanggan yang mahu produk minyak sawit yang diperakui.

“Ini merupakan permulaan yang baik bagi tahun ini. Terima kasih kepada para petugas FGV yang sentiasa komited dan turut serta dalam program transformasi kelestarian yang kita mulakan sejak Mei 2016,” katanya.

Jelasnya lagi, satu daripada strategi utama adalah pengenalan kepada Polisi Kelestarian Kumpulan (GSP) yang digunakan di seluruh operasi, anak syarikat dan kontraktor FGV untuk menangani jurang dan mewujudkan rantaian bekalan yang lebih inklusif.

“GSP memberi penekanan yang lebih besar untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan dalam cara yang lestari dan inklusif,” ujar beliau.