Pegawai Bertugas FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, bagi separuh pertama 2017, perolehan FGV meningkat sebanyak lapan peratus daripada RM7.9 bilion kepada RM8.55 bilion manakala keuntungan sebelum cukainya juga meningkat sebanyak 33 peratus kepada RM56 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Khairil Anuar ber­kata, peningkatan tersebut disokong oleh pendapatan tinggi daripada sektor perladangan dan logistik serta lain-lain sektor.

“Keuntungan sektor perladangan mencatatkan peningkatan memberangsangkan kepada RM148 juta untuk separuh pertama tahun ini berbanding kerugian RM9.69 juta pada tempoh sama tahun lalu disokong oleh margin minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi.

“Pengeluaran MSM turut meningkat 12 peratus dan kos pengeluaran MSM menurun tiga peratus,” katanya pada majlis pengumuman prestasi kewangan FGV di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, ke­putusan positif tersebut terjejas dengan kerugian yang dicatatkan sektor gula berikutan harga gula mentah yang tinggi dan susut nilai belum diterima sebanyak RM47.62 juta serta per­untukkan kerugian litigasi sebanyak RM32.84 juta yang diiktiraf dalam sektor perladangan.

Beliau berkata, FGV kini berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran tanaman semula kelapa sawit sebanyak 14,000 hektar setahun yang mana seba­nyak 10,000 hektar ladang telah ditebang dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,478 hektar telah ditanam semula pada separuh pertama tahun ini.

“FGV turut menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (BTS) bagi separuh kedua 2017 akan bertambah baik berikutan peningkatan pengeluaran hasil disebabkan pertambahan pekerja asing,” katanya.

Tambah Khairil Anu­ar, kumpulan akan meneruskan usaha bagi menstruktur perniagaan produk-produk sampingan seperti tempurung isi rong sawit (PKS), minyak sisa, biomas serta biogas.

“Kumpulan menjangkakan pertambahan perolehan lebih RM60 juta setahun untuk pasaran tempatan dan eksport untuk perniagaan yang disebutkan di atas,” katanya.

FGV juga katanya, akan kekal fokus menambah baik prestasi perniagaan teras, amalan kewangan dan pengurusan kos secara berhemah dalam usaha memaksimumkan nilai pemegang saham, selari dengan Pelan Strategik 2020 Kumpulan.