“Kami telah memulakan proses penjualan aset tidak strategik di dalam dan di luar negara dan proses ini akan berjalan mungkin sehingga pertengahan atau akhir tahun depan.

“Diharapkan harga yang kami dapat hasil daripada penjualan aset-aset tersebut dapat menampung liabiliti kami dan juga mengurangkan masalah peneroka yang pada masa ini sangat susah disebabkan harga sawit yang rendah,” katanya kepada pemberita di luar majlis konvokesyen Kolej Yayasan Felda di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, organisasi itu telah menerima pertanyaan daripada pembeli yang berminat untuk membeli aset tersebut tetapi tidak bersedia untuk mendedahkan lebih banyak maklumat berikutan semua perjanjian jual beli perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan.

“Kami mengikut tadbir urus yang baik untuk memastikan kami memberi peluang yang sama kepada mereka yang berminat. Sesiapa yang berminat perlu masuk tender (bagi) apa-apa aset yang mereka mahu,” katanya.

Pada September, Felda mengumumkan penjualan asetnya, termasuk hotel, pangsapuri dan asrama pelajar berjumlah kira-kira RM2.2 bi­lion, yang dijangka membantu mengurangkan hutangnya kepada RM6.5 bilion pada akhir tahun daripada hutang seba­nyak RM8.05 bilion dicatatkan sehingga 30 Jun.

Megat Zaharuddin berkata, dengan pelaksanaan ini, agensi kerajaan itu berada di landasan untuk mencatat keuntungan dan dapat memulih­kan organisasi dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

Katanya, penjualan aset itu dibuat untuk menambah ali­ran tunai kepada organisasi tersebut yang pada masa ini mempunyai pinjaman dengan institusi kewangan.

“Oleh itu, kita perlu mendapat aliran tunai sedikit dari luar daripada apa yang kita biasa guna iaitu melalui pendapatan daripada minyak sawit atau pembayaran hutang daripada peneroka.

“Kita juga mempunyai SOP (prosedur operasi stan­dard) yang mana setiap peneroka yang berpendapatan kurang daripada RM1,000 ditangguhkan untuk membayar hutang mereka kepada Felda dan apa sahaja masalah sosial yang dihadapi setiap peneroka kita akan melihat kemampuan kita untuk menolong mereka,” katanya.

Baru-baru ini, harga mi­nyak mentah merosot di bawah RM2,000 satu tan disebabkan pengeluaran yang lebih tinggi, susulan cuaca yang baik, de­ngan kekurangan permintaan.

Masalah sama turut berlaku di negara lain yang menghasilkan minyak makan.

“Kita berharap harga mi­nyak sawit dunia akan pulih pada tahun depan dan kami akan berusaha mencari jalan bagi mencapai jangka masa dua tahun itu secepat mungkin,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini kertas putih yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Disember ini, katanya, Felda telah memberikan semua dokumen kepada kerajaan dan ia terpulang kepada mereka (kerajaan) jika memerlukan lebih banyak maklumat.

“Kami sentiasa berbincang dengan Kementerian Hal Eh­wal Ekonomi dan mereka mem­punyai semua maklumat yang mereka perlukan,” katanya.

Kerajaan pada Ogos lalu mengumumkan akan membentangkan kertas putih mengenai Felda berikutan kecelaruan pengurusan organi­sasi itu dan dibelenggu hutang yang tinggi.

Mengenai pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), Megat Zaharuddin berkata, Felda akan berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi peraturan dengan memastikan semua kawasan perlada­ngannya 100 peratus diperakui MSPO.

“Diharapkan tahun depan kami dapat mencapai 100 peratus berbanding 42 peratus setakat ini,” katanya. – BERNAMA