Shahrir Abdul Samad
SHAHRIR ABDUL SAMAD

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, setakat ini Felda berjaya mengumpul 65,000 tandatangan dan yakin dapat mencapai sasaran 100,000 menjelang Selasa depan.

“Bantahan akan dibuat di Pejabat Delegasi EU dan juga 26 kedutaan negara anggota EU, menjadikan kesemua 27. Kita akan menghantar petisyen tersebut secara serentak (pada 2.30 petang) dan dipimpin oleh ketua-ketua peneroka,” kata­nya kepada Bernama.

Beliau berkata, para peneroka Felda dan pe­kebun kecil perlu ber­sama-sama menyuarakan bantahan terhadap cadangan yang dibuat Parlimen EU bagi menyekat pengimportan minyak biodiesel sawit.

Ini kerana tindakan pihak EU itu akan menjejaskan pendapatan golongan peneroka dan pekebun kecil, katanya.

Pada April 2017, Parlimen Eropah telah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan ha­nya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.

Mengulas mengenai isu ini, Shahrir berkata, dakwaan mengatakan penanaman sawit Malaysia tidak lestari merupakan satu tuduhan yang tidak berasas.

Beliau berkata, ini kerana pe­nanaman komoditi tersebut di Malaysia telah merangkumi aspek kelestarian terma­suk dari segi ekonomi serta alam sekitar kawasan penanaman kelapa sawit.

“Antara Matlamat Pemba­ngunan Lestari (SDG) EU adalah keupayaan untuk mengeluarkan rakyat luar bandar daripada kemiskinan dengan cara pertanian. Oleh yang demikian, de­ngan penyekatan kelapa sawit ke benua tersebut, (tindakan) Eropah telah dilihat bertentangan dengan SDG-nya sendiri,” katanya.

Shahrir berkata, Felda a­mat mengambil berat me­ngenai kelestarian produk mereka.

Sebelum ini dilaporkan Fel­da akan memastikan 120,000 penerokanya mematuhi Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MSPO) yang akan diwajibkan kerajaan berkuat kuasa 31 Dis, 2019.

Sistem tersebut dilihat dapat memastikan kualiti minyak sawit yang dikeluarkan Malaysia tidak diubah atau disekat melalui sekatan atau halangan dari negara yang cuba memboikot minyak sawit terutama EU.

Pada 2018, Felda turut me­nyasarkan untuk mengesahkan pensijilan bagi lapan kompleks kilang dan lebih 30 buah kompleks kilang diaudit oleh Run­dingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan MSPO.

Sementara itu, Shahrir berkata, pada 2017 Felda telah mengagihkan lebih kurang RM558.14 juta kepada peneroka Felda.

Jumlah itu termasuk pembayaran insentif sebanyak RM5,000 kepada lebih kurang 90,418 peneroka. Insentif tersebut merupakan antara enam in­sentif yang di­umumkan Perdana Menteri, Da­tuk Se­ri Najib Tun Razak pada 23 Julai 2017.

Antara insentif lain a­dalah dalam bentuk pelupusan hutang, penubuhan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

“Pembayaran insentif ini sudah bermula di wilayah Johor Baharu dan wilayah Segamat,” katanya. – BERNAMA