Berdasarkan potensi itulah ­Felcra Berhad (Felcra) kini tidak lagi tertumpu kepada sektor perladangan semata-mata, sebaliknya mula menceburi bidang perkilangan dan pembekalan produk halal melalui perjanjian kerjasama dengan tiga syarikat Filipina iaitu Big Fish Corporation (BFC), Fabelle Market Corporation (FMC) dan Alliance Select Food International Inc (ASFI).

Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, hasil kerjasama itu membo­lehkan Felcra bakal mengeluarkan produk makanan dalam tin berasaskan laut iaitu tuna dan sardin menggunakan jenama sendiri dikenali Yuya yang akan dipasarkan di Malaysia, Filipina, China, Jepun dan negara-negara Asia Barat.

“Selepas lebih dua tahun ­bekerja keras, kami akhirnya berjaya mendapatkan persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di tiga kilang milik ketiga-tiga syarikat, maka tidak lama lagi produk Felcra akan berada di pasaran.

“Saya berharap langkah ini bukan sahaja memberikan pulangan kepada Felcra tetapi turut membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan yang bernilai RM45 ­bilion setiap tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas perjanjian kerjasama itu di sini hari ini.

Perjanjian antara ketiga-tiga syarikat berkenaan yang ber­operasi di Zamboanga dibuat melalui anak syarikat Felcra iaitu Felcra International Venture Private Limited (FIV).

Bung Moktar mewakili Felcra menandatangai perjanjian bersama BFC hari ini manakala kerjasama dengan FMC dan ASFI telah dimeterai semalam.

Menurut beliau, Felcra kini dalam proses akhir untuk turut bekerjasama dengan syarikat di Medan, Indonesia bagi mengeluarkan lebih banyak lagi produk makanan.

Sementara itu katanya, di Sarawak, Felcra berharap kerjasama dengan kerajaan negeri dapat memberikan tanah yang luas untuk membangunkan projek penanaman jagung dan nanas serta projek lembu tenusu.

“Kami juga dalam perancangan membangunkan projek yang baik di Sabah iaitu pusat penyembelihan daging lembu dan kam­bing dari Australia yang akan dijual di pasaran tempatan.

“Kami telah berjaya menyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Felcra tidak boleh bergantung sepenuhnya sektor perladangan kerana hasil komoditi bergantung kepada harga pasaran, sebaliknya turut menceburi industri ­makanan,” tambah beliau.