Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pe­ning­katan FDI itu akan terus memberi manfaat kepada syarikat tempatan dari segi perdagangan, pelaburan, perkongsian teknologi dan penciptaan pekerjaan.

Katanya, ASEAN mewujudkan peluang pelaburan yang lebih menarik dan mudah diakses oleh para pelabur menerusi platform yang berkesan supaya dapat memaksimumkan rantaian nilainya.

“Syarikat-syarikat global da­lam pelbagai industri wujud di ASEAN, kebanyakan mereka sedang berkembang dan melihat peluang dan potensi yang muncul dari integrasi ASEAN.

“Contoh yang baik dalam ka­langan negara anggota ASEAN ada­lah operasi Intel di Malaysia, Singapura dan Vietnam,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Forum Pelaburan Intra-ASEAN di sini hari ini.

Forum anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pemba­ngunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) disertai lebih 400 delegasi.

Tahap pembangunan ekonomi yang berbeza di ASEAN dengan pengkhususan industri lebih me­luas menawarkan potensi pelaburan kepada syarikat-syarikat tempatan dan multinasional (MNC).

Semakin banyak MNC di ASEAN mengambil strategi pengelua­ran melibatkan operasi rantaian kilang di negara ASEAN atas faktor strategik dan ekonomi.

Mustapa berkata, Malaysia juga mengambil langkah untuk mempercepatkan run­dingan Per­kongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“RCEP dijangka dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini atau separuh pertama 2018,” katanya.