Firma penyelidikan itu ber­kata, ia susulan perang daga­ngan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, sekiranya tiada sebarang penyelesaian mengenainya, ia akan mendatangkan tekanan terhadap Malaysia.

“Berdasarkan perkembangan ini, kami juga menjangkakan pendapatan korporat yang lemah sebanyak 3.2 peratus pada 2019 berbanding 4.8 peratus yang diunjurkan tahun lalu,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Bursa Malaysia dan beberapa bursa serantau hari ini merosot berikutan pelabur terus memantau perkembangan terkini mengenai ketegangan perdagangan AS dan China.

Pasaran tempatan susut 2.80 mata kepada 1,680.54 matadaripada 1,678.68 semasa ditutup semalam. Indeks tersebut dibuka rendah 1.97 mata kepada 1,681.37 dan bergerak antara 1,678.68 dan 1,684.36 sepanjang sesi pagi.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 427 berbanding 292, dengan 402 kaunter tidak berubah, 748 tidak diniagakan.

Menurut Affin Hwang Capital, selain daripada kebimbangan berterusan mengenai pertikaian perdagangan, laporan Rizab Persekutuan AS merancang untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat bagi kenaikan kadar faedahnya pada bulan ini turut menyebabkan sentimen pasaran tidak menentu di seluruh dunia.

“Kenaikan kadar bergantung kepada peningkatan ekonomi AS, yang akan turut memberi petunjuk untuk pasaran dunia,” katanya.

Bagi prestasi kewangan pula, ringgit dijangka berada sekurang-kurangnya pada paras RM4.10 berbanding dolar AS pada minggu hadapan sekiranya terdapat perkembangan positif mengenai perang dagangan melibatkan dua negara kuasa ekonomi itu.

Ketua Global Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata, ringgit sebelum ini menerima manfaat sama seperti pasaran baharu muncul yang lain susulan gencatan selama 90 hari antara AS dan China.

“Bagaimanapun, komen yang dibuat Donald Trump di laman Twitternya mendorong para pelabur meragui keyakinan terhadap komitmen AS terhadap perjanjian ini.

“Sekiranya pasaran kewangan panik dan beranggapan tempoh 90 hari ini tidak dipatuhi oleh kedua-dua pihak, ini akan menimbulkan risiko yang sangat mendadak dan boleh menyebabkan ringgit jatuh ke paras RM4.20 berbanding dolar AS sebelum penghujung tahun,” katanya.