“Kisahnya, saya tak cukup duit nak kahwin. Jadi, saya dan tunang (ketika itu) pilih untuk berniaga ayam gunting secara kecil-kecilan nak kumpul duit, tak nak susahkan orang tua. Tapi, dalam masa empat bulan berniaga saya dapat kumpul RM20,000, saya mula nampak rezeki yang Allah cuba tunjukkan kepada kami berdua.

“Daripada hanya berniaga di gerai saya boleh mendapat untung, apatah lagi jika saya usahakan perniagaan sendiri dan kemudiannya saya boleh bantu orang lain berniaga,” ujar Muhammad Farid Razali, 27, anak jati Kuala Lumpur ini.

Bagaimanapun, apa yang dilaluinya dan isteri, Hazwani Hamid, 28, tidaklah semudah yang disangka. Banyak onak dan duri dilalui pasangan anak satu ini sebelum Famou’ss Fried Chicken dapat berdiri sendiri sebagai satu jenama yang dikenali.

Sebagai graduan muda juga, Farid tidak terlepas daripada stigma keluarga dan masyarakat yang menganggap kerja makan gaji adalah segala-galanya. Namun, anak muda ini memilih untuk menentang arus dan meletakkan jawatannya sebagai pegawai audit di sebuah syarikat sekuriti, begitu juga dengan Hazwani yang sebelum itu bertugas di Maybank.

Mereka bersama-sama mahu memberi fokus kepada Alfalah Quality Food Processing yang baru ditubuhkan sebagai punca rezeki.

Selain sanggup berpanas dan berhujan berniaga di gerai, mereka juga diuji apabila perniagaan memproses ayam di rumah tidak disenangi jiran tetangga. Banyak aduan yang mereka terima tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk meneruskan perniagaan tersebut.

Terhimpit dengan masalah kewangan dan dalam masa sama, permintaan pelanggan juga semakin meningkat, Farid memilih membuka kilang pemprosesan ayamnya sendiri walaupun tanpa modal yang mencukupi.

“Buat permulaan, saya pinjam daripada keluarga dan keluarga mentua saya sebanyak RM10,000 untuk membeli peralatan di kilang. Sebab bukan mudah untuk saya dapatkan dana atau bantuan awal daripada agensi kerajaan.

“Selepas itu, barulah saya dapat sedikit demi sedikit bantuan daripada pelbagai pihak dan membolehkan pengubahsuaian di kilang ini dibuat secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Kilang tersebut mula beroperasi pada November 2016 dan menyaksikan jumlah jualan semakin meningkat kepada antara RM160,000 hingga RM180,000 sebulan berbanding pemprosesan di rumah sekitar RM70,000.

Dengan permintaan yang semakin bertambah, Farid menyertai program Fraunoffer yang diadakan SIRIM bagi merebut dana bernilai RM165,000 untuk membeli dua mesin menghiris daging ayam.

Untuk mendapat dana tersebut, 80 peratus disediakan oleh pihak SIRIM manakala selebih­nya akan dibayar oleh syarikat terbabit berdasarkan beberapa kriteria ditetapkan.

“Sebuah mesin ini berharga RM70,000 dan mampu mengeluarkan sehingga 800 kilogram kepingan ayam dalam masa sejam. Kami dijangka memperoleh mesin ini pada awal 2019 dan berupaya menyelesaikan banyak masalah kami, terutama melibatkan kekurangan tenaga buruh.

“Bayangkan tanpa mesin ini kami boleh keluarkan sehingga 800 kilogram sehari tetapi dengan mesin ini, kapasiti ini boleh ditingkatkan dan mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya.

Menurut Farid, ia secara tidak langsung dapat membantunya untuk melahirkan lebih banyak usahawan kecil-kecilan pada masa akan datang.

“Setakat ini, sudah ada 89 outlet Famou’ss Fried Chicken di seluruh negara (kecuali pantai timur, Sabah dan Sarawak). Saya berhasrat dalam tempoh dua tahun ini dapat membantu lagi 200 usahawan terutama dalam kalangan B40 untuk memulakan perniagaan.

“Ada yang pernah datang kepada saya tidak mempunyai modal sebanyak RM3,000 se­perti yang kami tetapkan, tetapi jika mereka mempunyai RM300 sekalipun saya terima dan saya akan sediakan kuali, khemah, minyak dan bahan mentah. Yang penting mereka nak berniaga dan mulakan kehidupan baru,” katanya.

Farid juga mempunyai perancangan untuk mengeksport produknya ke Brunei dan Asia Barat (terutama Dubai) dalam tempoh dua tahun lagi.