Jumlah dagangan keseluruhan pasaran saham tidak di­nafikan merupakan satu daripada perkara yang agak penting dalam menentukan sentimen pasaran. Sentimen pasaran boleh jadi cergas, sederhana mahupun lemah dengan merujuk kepada berapa jumlah ke­seluruhan dagangan unit saham yang bertukar tangan.

Jumlah dagangan keseluruhan pasaran ini boleh jadi terlalu besar yang memberi petunjuk bahawa pasaran saham akan mengalami pembetulan harga disebabkan adanya pengambilan untung secara besar-besaran. Keadaan ini biasanya terjadi dalam pasaran bullish.

Keadaan ini telah beberapa kali berlaku. Pada satu ketika nanti apabila penjualan telah selesai, jumlah dagangan kembali normal iaitu berada dalam lingkungan dua bilion unit saham.

Tetapi sekiranya sentimen pasaran lemah dengan keba­nyakan harga saham bergerak secara mendatar atau dalam jajaran sempit, purata jumlah dagangan sekitar dua bili­on. Bila ini berlaku, ia akan mengambil masa yang agak lama untuk pasaran kembali cergas yang memperlihatkan banyak saham syarikat meng­alami kenaikan dalam pergerakan yang pantas.

Maka dengan melihat kepada keadaan jumlah dagangan keseluruhan pasaran, ini dapat membantu pedagang saham untuk memasuki pasaran de­ngan lebih aktif, mengambil sikap berhati-hati atau mengambil sikap tunggu dan lihat. Selain itu, pedagang saham boleh berhenti seketika daripada memasuki pasaran ketika pasaran me­nunjukkan tanda-tanda untuk bertukar arah daripada bullish kepada bearish.

Pedagang saham yang aktif sering terperangkap membeli saham yang lambat bergerak naik atau tidak naik langsung walaupun telah memegang sa­­ham tersebut untuk satu tempoh masa yang lama. Ini membuatkan seseorang pedagang saham merasa resah gelisah lebih-lebih lagi yang ingin menggunakan wang tersebut dengan kadar segera.

Maka sudah tentu mereka akan menjual pegangan saham tersebut sekalipun mengalami kerugian. Justeru untuk mengelakkan saham yang dibeli itu tidak dapat dijual dalam masa yang singkat atau sederhana, pedagang saham perlu mengelakkan daripada membeli saham-saham yang jumlah dagangannya terlalu kecil.

Ini adalah kerana selalu terjadi apabila seseorang itu ingin menjual pegangan saham, mereka tidak dapat menjualnya dengan segera kerana kekura­ngan atau ketiadaan pembeli pada harga yang diinginkan. Lebih malang lagi jika saham tersebut tidak didagangkan dalam tempoh yang lama.

Bagi menjadi seorang pedagang saham yang baik, anda perlu bukan sahaja kerap memerhatikan turun naik pasaran, mahir membaca carta pergerakan saham atau mengambil tahu berita-berita berkenaan pa­saran saham tetapi anda juga harus menghafal dan meng­ingati sejarah lampau pergerakan harga sesuatu saham syarikat tersenarai.

Sebagai contoh, perlu mengingati harga tertinggi dan terendah yang pernah dicapai oleh sesuatu saham syarikat terse­narai kerana kadang-kala kejatuhan sesuatu harga saham pada harga terendah dalam sejarah saham syarikat tersebut merupakan satu peluang kepada pedagang dan pelabur saham untuk membeli semasa harga murah.

Dengan syarat kejatuhan ter­sebut tidak mempunyai unsur-unsur negatif dari segi fundamental syarikat tersebut. Salah satu unsur negatif seperti waran yang hampir tamat tempoh.

Mengingati harga tertinggi yang dicapai oleh sesuatu saham syarikat juga kadang-kala boleh menghindarkan diri daripada terbeli pada harga pucuk. Sebagai contoh, kadang-kala sejarah tidak akan berulang yang mana harga saham yang telah menurun tidak akan mencapai balik harga tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah pergerakan harga saham tersebut.

Selain itu, pedagang dan pelabur saham perlu kenal perlakuan sesuatu saham syarikat. Maksudnya adakah harga saham tersebut akan terus naik, naik sedikit atau naik banyak ataupun sekadar pergerakan yang mendatar dalam jajaran sempit.

Sebagai contoh terdapat sa­ham syarikat yang sentiasa bergerak dalam jajaran sempit dan tidak betul-betul naik walaupun jumlah dagangan agak besar serta berada pada kaun­ter-kaunter aktif berdasarkan jumlah dagangan.

Terdapat juga saham syarikat tersenarai yang agak sensitif yang selalu mengikut turun naik indeks pasaran. Kaunter seperti ini dipanggil trading stock. Trading stock ini agak mudah didagangkan kerana selain daripada selari dengan pergerakan indeks pa­saran, jumlah dagangan pun agak banyak, yang memudahkan untuk membeli mahupun menjual.