Keadaan ini akan memberi impak kepada turun naik pasaran tempatan yang mana sepanjang November susut 29.4 peratus sebelum berakhir dengan 1,679 mata pada 30 November lalu, menurut CIMB Equities Research.

Di peringkat global pula, pelabur akan terus berhati-hati dengan hasil mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada 6 Disember ini terutama apabila Qatar mengambil keputusan menarik diri daripada perikatan itu bulan hadapan.

Ini kemudiannya diikuti mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 18 hingga 19 Disember ini dan sejauh mana ketegangan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Petang ini pasaran ditutup rendah, susut 4.73 mata kepada 1,694.99 mata berbanding semalam, 1699.72 mata. Ia menyaksikan 525 kaunter rugi manakala 282 kaunter untung dan 361 kaunter tidak berubah.

Nilai dagangan juga menyusut kepada 2.437 bilion saham bernilai RM2.085 bilion berbanding semalam, 2.518 bilion saham bernilai RM2.293 bilion.

Bagaimanapun, jelas CIMB Research, di sebalik faktor-faktor berkenaan, indeks FBM KLCI akan kembali berlegar dalam momentum yang lebih positif sepanjang Disember ini dan mengekalkan unjuran pada paras 1,684 mata menjelang akhir tahun ini.

Setakat ini, katanya, kejatuhan pasaran saham tempatan pada November mencecah 6.5 peratus dengan penurunan tiga bulan berturut-turut sebanyak 1.7 peratus. Malah, FBM KLCI juga mengatasi Indeks MSCI Asia Pacifik (kecuali Jepun) sebanyak 6.9 peratus. Ia juga merupakan pasaran MIST (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand) yang terburuk pada November.

“Kami percaya penyusutan ini disebabkan jualan asing, pasaran yang lebih lemah berbanding jangkaan daripada musim pendapatan dan kerugian harga saham kumpulan Genting.

Jualan bersih asing pada November juga mencatat aliran keluar sebanyak RM700 juta.

“Ini disebabkan gaming tax yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 dan juga tindakan kumpulan Genting memfailkan tuntutan guaman undang-undang sebanyak AS$1 bilion (RM4.15 bilion) terhadap Walt Disney Co. dan Twenty-First Century Fox Inc. berhubung pembatalan taman tema berjenama Fox yang pertama,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Menurut CIMB Research, dalam tempoh 10 tahun lalu, FBM KLCI merekodkan peningkatan dua peratus secara purata bulan ke bulan manakala sepanjang 40 tahun pula merekodkan penyusutan secara purata 3.6 peratus.

Sementara itu, menurut Kenanga Research, setakat akhir November, ekuiti asing mencatat aliran keluar sebanyak RM2.1 bilion dan RM10.7 bilion, masing-masing pada akhir September 2018 dan Disember 2017.

“Dari segi sektor, bahan binaan bangunan, media dan utiliti menjadi antara penyebab utama yang mempengaruhi keadaan tersebut manakala pembinaan, pengguna dan perladangan menunjukkan tanda-tanda lemah.

“Bagi sektor pembinaan misalnya, ia disebabkan kelembapan dalam projek-projek infrastruktur selepas kerajaan menyemak semula projek-projek tersebut manakala bagi sektor pengguna pula, ia menerima kesan daripada pertumbuhan jualan apatah lagi kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak memberi impak seperti diharapkan,” katanya.

Firma penyelidikan, Affin Hwang Capital pula melihat penangguhan perang dagangan AS dan China sepatutnya memberi sedikit kelegaan kepada pasaran dalam jangka masa sederhana.

“Tambahan pula, aliran keluar modal asing semakin berkurangan sejak Mei 2018, justeru kami kekal positif terhadap pasaran memandangkan struktur pembaharuan semula akan meningkatkan asas negara secara berperingkat manakala kelemahan ringgit berbanding dolar AS pula akan menyediakan peningkatan tambahan untuk pulangan modal,” katanya.

Bagi prestasi ringgit pula, petang ini mata wang itu ditutup tinggi pada RM4.1480 berbanding dolar AS setelah memulakan sesi dagangan pagi pada paras RM4.1630, mengukuh berbanding semalam pada RM4.1650.