Ia diikuti rapat oleh Twitter. Ketiga-tiga rangkaian ini memainkan peranan penting dalam kehidupan kita seharian.

Tidak kira siang atau malam, waktu bekerja atau bercuti, di rumah ataupun ketika memandu, di ruang tamu ataupun di dalam jamban, menonton televisyen ataupun tengah menjamah makanan, kita melayarinya setiap masa di mana-mana jua.

Seperti biasa, kita berinte­raksi dengan rakan-rakan dan pengikut kita tentang apa sahaja. Ini termasuklah setiap apa yang berlaku pada hari tersebut, semalam, minggu lalu dan ada juga yang suka menyingkap sejarah silam. Ini fenomena yang berlaku sekarang.

Penggunaan LinkedIn pula agak jauh terkebelakang berbanding ketiga-tiga rangkaian media sosial tadi. Ramai yang tidak pernah dengar tentang­nya terutamanya golongan profesional dan pemilik perniagaan di negara ini, dan ini amat meru­gikan.

Tidak penting pun, kata mereka. Setakat bulan Disember 2016, terdapat hanya tiga juta pemilik akaun LinkedIn yang berdaftar di Malaysia, berbanding lebih 20 juta pemilik akaun Facebook dan 6.5 juta akaun di Instagram.

Berpandukan kepada alasan perhatian pasaran jauh lebih banyak di Facebook, kita memilih berniaga di Facebook. Hampir semua orang juga berniaga di Facebook. Tabiat suka mengikut orang lain nampak­nya masih lagi menebal dalam kalangan kita, walaupun di mulut kita bercakap sebaliknya.

Jadi tidak hairan, kini kita melihat begitu ramai orang menjual itu dan ini di Facebook dan Instagram berbanding yang ingin betul-betul berkawan. Malah kelas-kelas yang mengajar kita berniaga melalui Facebook juga penuh di sana-sini, menerima bulat-bulat setiap apa yang diajar daripada ‘sifu’ yang diangkat status menggunung tingginya.

Kita terus ketepikan Linke­dIn dan kebolehannya dalam membantu perniagaan untuk mendapatkan pelabur dan pe­langgan korporat, yang keuntungannya jauh berlipat kali ganda.

Walaupun ia memiliki hanya tiga juta pemilik akaun sahaja di Malaysia, yang penting bukan terletak pada kuantitinya tetapi pada kualiti yang ada.

Daripada pemerhatian saya, kebanyakan daripada kita berniaga di Facebook semata-mata untuk mencari para pelanggan secara besar-besaran, dengan percubaan untuk menukarkan rakan-rakan kita sendiri dan orang lain kepada pembeli berbayar dengan mempunyai sedikit keuntungan tetapi secara kuantiti yang banyak. Itu sahaja. Ini amat meletihkan.

Malangnya di Facebook, kita cuma boleh dapatkan pelanggan runcit sahaja secara majoriti dan bukannya pelanggan korporat. Pelanggan runcit bermakna berkemungkinan besar mereka akan membeli produk anda dengan harga yang tidak besar, yang menggunakan wang mereka sendiri. Ini kerana mereka membeli atas kapasiti peribadi, itu sahaja.

Bayangkan sekiranya pembeli produk terdiri daripada seorang pengarah urusan di sebuah syarikat multinasional, ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi dan sebagai­nya.

Atau mungkin juga daripada cadangan seorang ahli lembaga pengarah di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) terkenal, ataupun seorang pelabur. Orang besar sebegini jarang menunjukkan diri mereka di Facebook. Mereka lebih aktif di LinkedIn. Mengapa?

Pertama, mereka lebih gemar berbahasa Inggeris, dan bahasa rasmi di LinkedIn ialah bahasa Inggeris. Kedua, hampir kesemuanya adalah daripada sektor korporat, profesional dan ahli perniagaan yang sama ‘frekuen­si’ dengan mereka.

Ketiga, mereka tahu dengan siapa mereka berinteraksi kera­na terdapat butiran di setiap kenalan LinkedIn yang ada. Dan setiap interaksi yang wujud adalah profesional, formal dan teratur. Interaksi sebegini tidak terikat kepada Malaysia sahaja, malah dengan profesional luar negara juga.

Di LinkedIn, semuanya tentang pertukaran pendapat dan membina keyakinan. Biasanya pemilik perniagaan startup dan para profesional akan berinteraksi dan sering bertukar-tukar pendapat dengan tokoh perniagaan yang berjaya dan berpengaruh, para teknokrat dan juga para pelabur tentang sesuatu topik, pasti akan memperoleh sesuatu manfaat daripadanya.

Mereka berbincang secara dalam talian, kemudian berjumpa dan berkenalan secara fizikal. Di sini, bukan sahaja dasar kepercayaan akan dapat dibina yang akhirnya dapat membuahkan kerjasama menang-menang, malah mereka juga berjaya menjual produk mereka ke sektor korporat yang jauh lebih menguntungkan.

Peluang memperoleh pela­buran yang signifikan juga akan wujud di LinkedIn. Dan ini semua tiada di Facebook.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di azleen.com