Pusat berkenaan akan beroperasi pada 2022, menjadi pusat teknologi maklumat dan pelayan Facebook, kata Naib Presiden Facebook, Thomas Furlong.

Tanah seluas 170,000 meter persegi itu akan dibina dengan bangunan 11 tingkat menggunakan teknologi terkini sesuai dengan cuaca panas tropika.

Bangunan itu juga dibina daripada bahan binaan yang ringan serta menggunakan pengudaraan secara semulajadi sebagai kaedah penyejukan hawa.

Syarikat berkenaan menjangka bangunan itu menggunakan kuasa 100 peratus daripada sumber yang diperbaharui.

Furlong berkata kepada pemberita pembinaan kemudahan itu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini dan menjadi pusat data yang ke-15 milik syarikat berkenaan.

Furlong berkata, Facebook, yang mempunya 2.23 bilion pengguna aktif sebulan hingga akhir Jun lalu, memilih republik itu kerana kemudahan dan tenaga kerja mahir yang cukup serta selesa bekerjasama dengan kerajaan terbabit.

Google sebelum ini telah membina dua pusat data di negara berkenaan dan sedang membina pusat data ketiga membabitkan pelaburan kira-kira AS$850 juta. - AFP