Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez berkata, pihaknya yakin lokasi Iskandar Malaysia yang dekat de­ngan Singapura juga merupakan kelebihan bagi menarik para pelabur dari negara-negara kesatuan tersebut.

“Kami sedang melihat (peluang) dengan gambaran yang lebih luas dan boleh menjadikan Malaysia dan Singapura sebagai platform untuk menembusi pasaran di negara-negara ASEAN,” katanya selepas mengetuai delegasi 11 negara EU mengadakan perbincangan meja bulat dengan para pegawai Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), di sini hari ini.

Antara yang menyertai delegasi tersebut termasuk Duta Belgium, Daniel Dargent; Duta Repbulik Czech, Rudolf Hykl Duta Denmark, Nicolai Ruge; Duta Jerman, Holger Michael dan Duta Sepanyol, Carlos Dominquez Diaz.

Menurutnya, kemajuan dan pembangunan pesat di kawasan Iskandar Malaysia sejak sedekad lalu membuktikan koridor ekonomi tersebut bergerak pada landasan yang tepat.

“Kami percaya Iskandar Malaysia menawarkan pakej yang terbaik untuk melabur atau memulakan operasi mereka di rantau ini,” katanya.

Beliau mengakui perbincangan meja bulat tersebut menjadi platform terbaik untuk mengetahui dan mengenal pasti peluang serta bidang yang sesuai untuk diceburi pelabur dan syarikat dari negara-negara EU.

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelabur domestik dan antarabangsa untuk beroperasi di Iskandar Malaysia.

“Memang menjadi dasar kami sejak hari pertama lagi supaya tidak bergantung terhadap negara atau rantau tertentu selagi pelaburan itu memberi nilai tambah dan mewujudkan limbahan ekonomi di Iskandar Malaysia,” katanya sambil memaklumkan terdapat pelbagai program dijalankan pihaknya untuk menarik pelabur dari EU.