Langkah itu sebahagian daripada usaha anak syarikat Eas­tern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Bhd. yang menjadi sayap penglibatan kerajaan negeri dalam industri minyak gas untuk meneroka peluang lebih luas terutama dalam kerja pemulihan dan pembaikan loji.

Pengerusi EME, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman berkata, MoU itu akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak dalam menjana keuntungan secara efisien untuk menghadapi persaingan industri dan ekonomi pada masa depan.

“Kerjasama ini juga akan membantu mempertingkatkan syarikat kepada lebih aktif, agresif dan produktif dalam mencipta pe­luang dalam bidang pemulihan dan pembaikan loji.

“EME dan Strok Technical Services telah mencapai beberapa kata sepakat untuk melaksanakan rangkaian kerjasama ini. Ia adalah usaha untuk menembusi peluang pasaran lebih tinggi khususnya yang menepati keperluan Petronas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani MoU itu di sini, petang semalam yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong.

EME diwakili Pengarah Urusan Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor manakala Stork Technical Services diwakili Pengarah Operasi Wilayah, Deon Otto dengan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Tengku Zaihan menyifatkan MoU itu suatu anjakan ke arah fasa baharu EME dalam mempergiatkan usaha dan aktiviti perniagaan terutamanya perkongsian teknologi serta kepakaran dan rakan niaga antarabangsa.

EME ditubuhkan pada 1985 dan menjadi sebahagian daripada keluarga EPIC Berhad bermula Oktober 2007. Ia berke­cimpung dalam bidang fabrikasi umum, khidmat pemulihan loji, penyelenggaraan tangki, peningkatan dan pengubahsuaian paip serta membaik pulih kapal.