Jika anda perhatikan betul-betul jenis perniagaan yang ada di luar sana, ia boleh terbahagi kepada enam jenis. Anda boleh mempertimbangkan senarai ini untuk membina strategi perniagaan sendiri.

Yang penting, anda perlu memulakannya daripada kecil terlebih dahulu, kemudian selesaikan beberapa masalah yang akan wujud sebelum ia stabil. Apabila anda lihat perniagaan sudah stabil, barulah mulakan strategi untuk memperbesarkannya.

1. Ambil kesempatan ke atas kemalasan orang lain

Cuba anda perhatikan perniagaan seperti membuat kuih-muih untuk santapan petang, perkhidmatan mencuci kereta, mencuci rumah, mesin basuh baju yang menggunakan wang syiling dan juga khidmat menghantar makanan yang kini semakin bercambah di sana-sini.

Secara konsepnya, mereka menjalankan perniagaan sebegini kerana mengambil kesempatan ke atas kemalasan orang lain. Mereka juga sanggup membayar produk atau perkhidmatan yang anda sediakan kerana bagi mereka tidak berbaloi untuk melakukannya sendiri.

2. Ambil kesempatan ke atas ketidakupayaan orang lain

Jenis perniagaan sebegini juga agak biasa. Contoh terbaik termasuklah membuat laman web untuk orang lain, menjaga laman-laman media sosial, mereka bentuk grafik, khidmat penterjemahan, membuat akaun dan simpan kira untuk orang lain.

3. Penyelesaian masalah

Lihat sahaja bagaimana Netflix mengubah pendirian pengguna terhadap industri kabel televisyen berbayar, AirAsia terhadap industri penerbangan, Spotify terhadap industri muzik, Grab terhadap industri teksi dan NSE terhadap industri pengurusan media sosial.

Kesemua jenama ini menyediakan khidmat yang jauh lebih baik dan berkualiti berbanding jenama-jenama sedia ada pada kadar lebih murah daripada harga pasaran. Siapa yang tidak mahukan khidmat lebih baik dan murah daripada biasa?

Orang ramai sebelum ini menghadapi masalah besar de­ngan jenama-jenama terdahulu yang merasakan mereka lebih bagus dan sering meletakkan harga sesuka hati. Lihat mereka sekarang, bertarung nyawa untuk hidup kerana tiada sesiapa yang menggunakan khidmat mereka lagi. Carilah peluang perniagaan sebegini.

4. Sebahagian daripada kitaran hidup orang lain

Faktor ini yang paling pen­ting. Sebelum anda teruskan dengan idea perniagaan sedia ada, jawab dahulu soalan ini dengan jujur. Adakah produk atau perkhidmatan yang akan anda sediakan nanti terus-menerus menjadi sebahagian daripada hidup para pengguna di luar sana?

Sekiranya ya, maka jenama anda akan kekal relevan dan terus berkembang pesat. Sekiranya tidak, anda perlu menukar produk atau perkhidmatan yang ada kepada yang baharu.

5. Biarkan mereka di zon selesa

Biarkan para pengguna kekal dengan kemalasan dan ketidakupayaan untuk memastikan perniagaan anda kekal relevan sepanjang masa. Sekiranya mereka keluar daripada zon selesa maka berkemungkinan besar perniagaan anda akan merosot. Jadi, jangan galakkan perkara ini terjadi.

6. Bayaran berkali-kali

Pastikan juga model perniagaan anda menggunakan harga yang demokrasi iaitu lebih murah daripada biasa tetapi masih mengekalkan keuntungan. Harga tersebut terlalu murah sehinggakan mereka tidak perlu berfikir panjang untuk membayar kepada anda atau tidak perlu menunggu sehingga hujung bulan untuk membuat pembayaran.

Di samping itu, strategi harga juga perlu dilakukan agar para pelanggan anda membayar setiap bulan sampai bila-bila. Sama seperti konsep yang digunakan oleh Netflix dan Spotify. Netflix hanya menawarkan pakej RM40 sebulan untuk anda tonton filem sebanyak mana yang anda suka. Begitu juga de­ngan Spotify, hanya de­ngan RM4 sebulan, anda boleh menikmati muzik tanpa henti dengan berjuta-juta lagu yang ada pada platform tersebut.

Saya tidak gemar untuk mencadangkan jenis-jenis perniagaan dengan terperinci, tetapi saya lebih suka menyediakan strategi yang bernas untuk anda fikirkan. Dengan berpandukan keenam-enam ini, anda mampu menggunakannya untuk potensi perniagaan yang difikirkan sesuai dengan jiwa, minat dan kepakaran serta pengetahuan yang anda ada.