Mahpar Atan

Pengarah Pembangunan Industri MTIB, Mahpar Atan berkata, walaupun masih jauh daripada sasaran RM53 bilion menjelang 2020, pihaknya yakin jumlah itu dapat dicapai berdasarkan purata tahunan nilai eksport produk tersebut selain komitmen tinggi banyak pihak.

“Kita akui banyak cabaran yang perlu dihadapi memandangkan jumlah sekarang sekitar RM20 bilion, ini bermakna kita ada lagi RM30 bilion yang perlu kita capai untuk sasaran RM53 bilion pada 2020,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, antara negara yang merupakan pasaran bagi eksport utama produk berkenaan menjelang 2020 adalah Jepun di samping Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Pada tahun depan kita menjangkakan nilai eksport produk kayu negara seperti perabot, papan lapis dan kayu mencecah RM21 bilion dan kita menyasarkan RM53 bilion menjelang tahun 2020 nanti,’’ ujarnya.

Mahpar berkata, antara strategi MTIB bagi mencapai sasaran itu termasuk menggalakkan industri perkayuan negara menghasilkan produk berkualiti tinggi selain mendapat kerjasama pelbagai pihak.

Menurut beliau, komitmen dan sokongan padu kerajaan-kerajaan negeri juga amat diperlukan bagi merealisasikan sasaran tersebut termasuk Terengganu dengan kerjasama Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC).

“Dari segi saingan pula, kita perlu bergantung kepada bahan mentah dan faktor tenaga kerja. Kita kena lihat juga teknologi luar yang boleh kita gunakan agar dapat kurangkan kebergantungan kepada tenaga asing.

Jelas beliau, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Malaysia menduduki tangga ke-10 dalam senarai negara pengeksport produk kayu terbesar dunia.

Berdasarkan nilai eksport produk perkayuan negara tahun lalu, Jepun merupakan pasaran terbesar iaitu melebihi RM4 bilion atau 21 peratus diikuti AS (RM2.3 bilion), Kesatuan Eropah (RM1.7 bilion) dan India (RM1.5 bilion).

Lain-lain negara ialah Taiwan (RM997.4 juta), Korea (RM869.6 juta), Singapura (RM863.6 juta), Australia (RM844.1 juta), China (RM736.1 juta) dan Thailand (RM633 juta).