Pengerusi AMMI, Christophe Marque berkata, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan terhadap 46 ahli AMMI, 50 peratus daripadanya yakin dapat merekodkan pertumbuhan dua digit dalam jualan eksport yang merupakan antara kesan positif daripada perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Katanya, Malaysia juga terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab pembuatan peranti perubatan dengan lebih daripada 200 syarikat perkilangan berkaitan industri berkenaan berkembang dalam ekosistem industri yang baik.

“Apa yang paling mengagumkan adalah sejumlah RM3.43 bilion atau 59 peratus bahan mentah dan perkhidmatan diperoleh dari Malaysia.

“Ini mencerminkan komitmen AMMI dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Laporan itu juga menekankan bahawa 74 peratus anggota AMMI mempunyai pelan pengembangan masa depan dalam perancangan, yang melibatkan bangunan, jentera, peralatan, kemudahan dan barisan produk.

“Nilai unjuran yang dianggarkan bagi pelan pengemba­ngan masa depan adalah kira-kira RM1.5 bilion,” katanya.

Laporan itu juga menyebut jumlah pelaburan terkumpul oleh responden kaji selidik berkenaan setakat Disember 2017 adalah RM7 bilion, berbanding RM3.4 bilion yang direkodkan pada 2013.

Secara keseluruhan Marque berkata, jumlah pelaburan terkumpul bagi 2017 adalah RM967.9 juta berbanding RM215.2 juta pada 2013.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan AMMI itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, industri peranti perubatan menyaksikan pelaburan baharu dan pengembangan berterusan oleh pemain industri domestik dan asing.

Katanya, trend ini dijangka kekal pada tahun-tahun akan datang dengan para pelabur menunjukkan keyakinan yang mantap dalam prospek industri.

“Syarikat-syarikat, terutama pemain tempatan, mesti memanfaatkan kelebihan daya saing dan perbandingan dalam asas komprehensif elektrik dan elektronik, mesin dan kelengkapan selain jaringan rangkaian pembekal tempatan yang kukuh,” katanya.