Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata, eksport Malaysia dalam sektor itu terus berkembang sejak tujuh tahun lepas dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 4.11 peratus.

Beliau berkata, industri M&E mencatatkan jumlah eksport bernilai RM40.6 bilion berbanding RM73.6 bilion dalam jumlah import tahun lepas, dengan jentera dan peralatan khusus sebagai penyumbang utama.

Destinasi eksport utama termasuk Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun.

“Ini adalah satu sektor yang mana import kita lebih tinggi daripada eksport berikutan kemajuan teknologi daripada syarikat multinasional lain, oleh itu ada keperluan untuk meningkatkan eksport,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Metaltech 2019, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Kian Ming berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan untuk meneroka sektor ini, serta membawa lebih banyak syarikat M&E untuk menempatkan kilang mereka di Malaysia. - BERNAMA