Timbalan Menterinya, Datuk Lee Chee Leong berkata, sektor pembuatan dijangka menjadi teras dan pendukung kepada pasaran eksport negara.

Malah jelasnya, sektor pelancongan pula dijangka menjadi pemangkin kepada pasaran domestik berikutan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada waktu ini.

“Kita tidak perlu bergantung kepada pasaran domestik semata-mata, sebaliknya pasaran eksport boleh meningkatkan dagangan sepanjang tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran program Sarjana Dagangan Antarabangsa Perdana University di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perdana University, Tan Sri Dr. Mohan Swamy dan Naib Canselor Perdana University, Professor Datuk Dr. Sothi Rachagan.

Program Sarjana Perdana University baharu diperkenalkan yang membabitkan penyertaan sulung 20 mahasiswa terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan.

Program dengan kerjasama MITI itu membolehkan mahasiswa mempelajari teknik rundingan dagangan dan hal-hal teknikal.

Seramai lima pegawai MITI terlibat dalam pengajian itu yang menggabungkan pembelajaran secara teori daripada Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) serta Zurich University of Applied Science School of Management and Law (ZHAW).

Tambah Chee Leong, tumpuan MITI pada tahun ini adalah pada perkembangan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau memberitahu, PKS merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negara dan MITI akan memantau perkembangan golongan pengusaha itu dari semasa ke semasa.