Menteri Perusahaan, Perlada­ngan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, nilai eksport yang memberangsangkan itu adalah hasil permintaan tinggi dari negara luar terutama rantau Asia yang begitu yakin dengan kualiti lada hitam keluaran negara ini.

Katanya, Jepun merupakan pembeli utama hasil komoditi itu untuk tempoh tersebut apabila merekodkan nilai eksport seba­nyak 1,580 tan.

“Eksport selebihnya pula melibatkan pasaran Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Lembaga Lada Malaysia (MPB) di sini hari ini.

Menurutnya, dalam usaha memperkasa pengeksportan lada ke pasaran lebih besar, MPB mengambil langkah menambah keluasan penanaman komoditi itu di seluruh negara sejak tahun ini.

Pada tahun ini, katanya, keluasan tanaman lada di Malaysia adalah sekitar 17,100 hektar berbanding 16,768 hektar tahun lalu.

Beliau berkata, tambahan keluasan tanaman itu menjadikan jumlah pengeluaran lada kini meningkat kepada 31,000 tan metrik berbanding 29,245 tan metrik pada tahun lalu.

“Peningkatan keluasan tanaman juga menjadikan jumlah eksport lada bagi tahun ini dijangka meningkat kepada 15,000 tan metrik berbanding 12,199 tan metrik yang direkodkan tahun lalu,” ujarnya.