Pengurus Kanan Jabatan Promosi Eksport dan Akses Pasaran Perbadanan Pembangunan Per­dagangan Luar Malaysia (Matrade), Azahar Mohamed berkata, tahun 2016 menyaksikan industri itu menyumbang sebanyak RM7.6 bilion kepada negara dengan eksport bernilai RM1.17 bilion.

“Sektor ini merupakan antara bidang tumpuan di Matrade ke­rana potensinya yang besar khususnya buat golongan muda kerana bukan sahaja sebagai hiburan, tetapi juga satu daripada medium untuk mendidik orang ramai.

“Kita menyasarkan eksport ke semua pasaran maju yang berpotensi terutama Korea Selatan, Jepun, China, Australia dan Kazakhstan,” katanya ketika ditemui pada bengkel bagi syarikat tempatan meneroka potensi sektor kan­dungan digital di Korea Selatan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Konsul Jeneral Korea Selatan ke Malaysia, Kim Jun-pyo dan Ketua Unit Perdaga­ngan dan Pelaburan ASEAN-Korea Centre (AKC), Um Sung-pil.

Bengkel itu di­sertai 11 syarikat dari Korea Selatan antaranya Gyeonggi Center for Creative Economy and Innovation, Caret Games Co. Ltd., Idreamsky Co. Ltd., Reality Reflection Co. Ltd., DPS Co. Ltd., Smilegate Holdings dan K-Production Co. Ltd.

Mengulas lanjut, Azahar mem­beritahu, bengkel anjuran bersama AKC dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkenaan menjadi platform perkongsian maklumat, pengalaman dan amalan terbaik dari syarikat Korea Selatan itu.

“Bengkel ini adalah platform tepat buat syarikat Malaysia bukan sahaja untuk memahami trend perniagaan industri ber­nilai tinggi itu, tetapi juga dengan strategi untuk mengakses pasaran Korea Selatan dalam industri animasi dan permainan,” katanya.

Tambah beliau, bengkel tersebut juga merupakan inisiatif untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin penghasilan Harta Intelek (IP) di Asia Tenggara serta status negara sebagai destinasi penyumberan luar serantau bagi animasi dan permainan.

“Menurut syarikat Korea Selatan ini, mereka sebenarnya berminat untuk mempelajari tentang kepakaran Malaysia dalam sektor itu, malah mengatakan Malaysia maju daripada negara mereka, meskipun Korea Selatan sebenarnya jauh lebih maju daripada negara ini,” katanya.