Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selain aktiviti eksport mencatat prestasi yang baik, import pada bulan tersebut juga meningkat 3.7 peratus kepada RM63.19 bilion.

Katanya, secara keseluruhan, aktiviti dagangan pada Jun melepasi paras RM9.88 bilion sekali gus mencatat lebihan dagangan buat 236 bulan berturut-turut sejak November 1997 dan nilai ter­tinggi sejak April 2016.

“Kita dapati pertumbuhan eksport yang baik ini juga disumbangkan menerusi jualan bahan kimia dan gas asli cecair yang tinggi manakala dari segi import yang me­ningkat pula didorong oleh pembelian barangan pertengahan dan modal yang lebih tinggi, memandangkan negara membeli barangan yang kurang penggunaan.

“Ini menjadikan keseluruhan dagangan Malaysia bagi Jun meningkat tujuh peratus kepada RM136.26 bilion berbanding RM127.38 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Prestasi dagangan Malaysia itu kebanyakannya disokong oleh rakan dagang utama iaitu China, India, Jepun, Kesatuan Eropah, ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Korea Selatan.

Pada Jun, eksport bagi bara­ngan pembuatan berkembang 7.4 peratus kepada RM59.63 bilion dan menyumbang sebanyak 81.6 peratus kepada jumlah eksport Malaysia didorong oleh eksport yang tinggi bagi produk E&E, besi dan logam, getah dan peralatan pengangkutan.

Eksport bagi barangan perlombongan pula meningkat 40.3 peratus kepada RM6.77 bilion dan menandakan enam bulan berturut-turut merekodkan pertumbuhan dua digit bagi tahun ke tahun manakala eksport bagi barangan pertanian pula meningkat 7.7 pe­ratus kepada RM5.97 bilion.