Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan jumlah pesanan tertunggak yang diterima syarikat aeroangkasa tempatan pada tahun ini.

“Nilai eksport industri ini kekal meningkat setiap tahun sejak 2015 dan tahun lalu ia mencatat rekod apabila melonjak sehingga lebih 50 peratus atau hampir RM3 bilion.

“Justeru, kita jangkakan tahun ini terus meningkat sekurang-kurangnya lima peratus, malah mungkin lebih daripada itu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis prapelancaran Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIABC 2018) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) , Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros.

KLIABC 2018 yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 2 hingga 4 Oktober ini menerima penyertaan sehingga 250 syarikat aeroangkasa dalam dan luar negara.

Tumpuan utama acara itu adalah persidangan sehari membariskan penceramah daripada syarikat penerbangan, industri pusat baik pulih dan penyelenggaraan (MRO) serta pengeluar peralatan tulen.

Mengulas lanjut, Ka Chuan berkata, kerajaan melihat industri aeroangkasa sebagai industri strategik yang mempunyai potensi besar walaupun masih baru dibandingkan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Katanya, kerajaan menerusi Rangka Tindakan Industri Ae­roangkasa Malaysia 2030 yang dilancarkan pada 2015 berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab utama aeroangkasa di Asia Tenggara dan menjadi penggiat utama global pada 2030.

“Dalam tempoh berkenaan, rantau ini akan menyumbang 36 peratus penghantaran pesawat kargo dan penumpang global.