Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sasaran tersebut mampu dicapai hasil pelaksanaan Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017 yang bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pertanian negara malah industri hiliran.

Jelas Tajuddin, ketika ini hanya kira-kira 300 produk berjaya dieks­port ke Singapura melalui pembukaan Agrobazaar Malaysia di Sultan Gate di negara itu.

“GTN 2017 kita lancarkan untuk mengubah cara pemikiran dan cara kerja mereka (petani) supaya lebih produktif di samping menarik lebih ramai golongan belia terlibat dalam keusahawanan dan produk hiliran.

“Insya-Allah, bila lebih ramai terlibat dan produk kita dapat memenuhi piawaian antarabangsa, saya yakin kita mampu mengeksport lebih banyak produk hasil pertanian seperti biskut, buah-buahan, makanan sejuk beku dan minuman kordial.

“Singapura akan kita jadikan 'pintu masuk' bagi meneroka lebih banyak peluang untuk membawa produk kita ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Prapelancaran GTN 2017 di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Batu di Sungai Manik dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Seri Ismail Bakar.

Majlis pelancaran GTN 2017 akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Degong di Langkap pada Sabtu depan.

Tambah Tajuddin, ketika ini negara tidak dapat mengeksport lebih banyak produk hasil pertanian berikutan produk tersebut gagal mematuhi piawaian antarabangsa termasuk dari segi label, pembungkusan dan kandungan nutrisi dalam produk.