Pengerusi LPNM, Datuk Sam­solbari Jamali berkata, proses itu kini di peringkat akhir bagi memastikannya menepati protokol, spesifikasi, standard dan piawaian ditetapkan negara tersebut.

“Wakil-wakil dari China sudah melawat ladang-ladang nanas terlibat dan kini hanya tinggal proses akhir iaitu melibatkan proses rawatan untuk mendapatkan kelulusan mereka.

“China merupakan pasaran baharu bagi kita dan setakat ini tiga pengusaha iaitu dua dari Johor dan seorang dari Pahang dipilih untuk mengeksport nanas ke China,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Sembang Nanas Transformasi Nasional TN50 Aspirasi Nanas Menjelang 2050 di Ibu pejabat LPNM, Tampoi di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd. Anim Hosnan.

Samsolbari berharap, apabila semua syarat ditetapkan dapat dipenuhi, eksport ke China akan berterusan dan pada masa sama, pihaknya sentiasa membuka peluang kepada pengusaha lain untuk turut mengeksport nanas.

Jelasnya, ketika ini nanas dieksport antaranya ke Singapura, Korea, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat dan Jepun dengan nilai dianggarkan RM160 juta setahun.

Sementara itu, beliau berkata, keluasan tanaman nanas varieti MD2 yang mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa ketika ini adalah 1,987.62 hektar.

Beliau berkata, Johor meru­pakan negeri yang mempunyai keluasan ladang terbesar diikuti Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan ­Perlis.