Walaupun tidak meletakkan sebarang unjuran khusus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, beliau yakin data-data ekonomi terus menunjukkan perkembangan yang lebih positif terutama bagi suku ketiga dan keempat akan datang.

Katanya, keadaan ini secara tidak langsung mencerminkan isu-isu dalaman termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi kerana ia bergantung kepada dua faktor utama iaitu pertumbuhan eksport mencatat prestasi yang lebih baik dan penggunaan domestik pula terus meningkat.

Beliau berkata, dengan jangkaan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, menunjukkan data penggunaan domestik yang lebih baik dan dijangka terus mening­kat pada separuh kedua tahun ini yang turut dipacu oleh sentimen permintaan global dengan aliran masuk bersih direkodkan seba­nyak RM7.3 bilion pada suku kedua 2017.

“Untuk itu, kita jangkakan kerajaan menyemak semula unjuran KDNK ini dan sasaran baharu akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2018, Oktober ini dan BNM sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dalam perkara ini.

“Dengan pencapaian suku ke­dua ini, kita berada dalam kedudukan yang baik untuk merekodkan pertumbuhan melebihi 4.8 peratus tahun ini,” katanya dalam pembentangan prestasi ekonomi suku kedua 2017 di sini hari ini.

Ekonomi Malaysia berkembang lebih baik pada suku kedua berbanding suku pertama 5.6 peratus menjadikan KDNK separuh pertama berkembang pada 5.7 peratus. Tahun lalu, Malaysia mencatat KDNK suku kedua pada empat peratus.

Prestasi lebih baik pada suku kedua ini didorong oleh perbelanjaan sektor swasta yang menjadi pemacu utama manakala pertumbuhan dalam sektor luaran terus disokong oleh pertumbuhan eksport barangan dan perkhid­matan yang kukuh iaitu 9.6 peratus berikutan permintaan lebih mantap bagi produk perkilangan dan komoditi.

Bagi tempoh itu juga, inflasi keseluruhan menurun kepada empat peratus berbanding 4.3 peratus pada suku pertama dise­babkan oleh inflasi pengangkutan yang lebih rendah sebanyak 13.4 peratus dan kadar tersebut dijangka menurun pada separuh kedua tahun ini berikutan trend harga minyak global yang rendah.

Eksport kasar terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 20.6 peratus dipacu oleh pertumbuhan produk elektronik dan elektrikal sebanyak 22.6 peratus manakala import kasar juga kekal kukuh dengan merekodkan pertumbuhan 19.1 peratus.

Suku kedua juga menyaksikan pelaburan portfolio oleh bukan pemastautin mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM18.8 bilion berbanding aliran keluar bersih sebanyak RM22.9 bilion pada suku pertama 2017 dise­babkan oleh pembelian baharu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan penyertaan dalam pasaran ekuiti yang lebih tinggi.

Menurut Muhammad, sentimen pelabur yang meningkat pada suku berkenaan disokong oleh inisiatif membangunkan pasaran kewangan domestik, pres­tasi ringgit lebih kukuh, jangkaan prospek pendapatan korporat dan prospek pertumbuhan dalam negeri yang lebih baik.