“Sekiranya sebelum ini, sektor ekonomi yang mengalami momentum mantap di sekitar pembuatan berorientasikan eksport, limpahan daripa­da trend itu kini menjadi lebih kukuh di sektor lain,” kata Bank Negara Malaysia (BNM).
 Ekonomi negara berkembang 5.9 peratus pada 2017, yang lebih tinggi daripada 4.2 peratus dan 5.0 peratus yang masing-masing dicatatkan pada 2016 dan 2015.
 BNM berkata, data itu menunjukkan kenaikan pendapatan dan pekerjaan merentasi pergerakan ekonomi yang lebih meluas.

“Sektor komoditi juga bertambah baik dan memberi manfaat kepada pendapatan luar bandar.

Ringgit mengukuh sejajar de­ngan peningkatan ekonomi,” ka­ta bank pusat tersebut sebagai respons kepada soal selidik Bernama mengenai faktor yang akan memastikan pertumbuhan kukuh Malaysia berterusan dan sama ada ia juga inklusif.

BNM berkata, ekonomi global menunjukkan pertumbuhan yang selaras di semua rantau.
Pelbagai petunjuk seperti pengeluaran, penggunaan, perkapalan dan harga komoditi menunjukkan trend yang bertambah baik, menandakan pertumbuhan global yang berterusan pada 2018.

IMF, Bank Dunia, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pemba­ngunan (OECD) telah menyemak semula ramalan pertumbuhan global yang meningkat untuk tahun ini.

“Sebagai ekonomi terbuka dan dengan pemacu pertumbuhan domestik yang sihat, Malaysia mungkin berprestasi baik,” katanya.

Mengenai penciptaan pekerjaan dan pemberhentian pekerja dalam industri kewangan di Malaysia, ia berkata, jumlah pekerjaan dalam sektor perkhidmatan kewangan kekal kukuh pada 164,885 orang pada akhir suku keempat tahun lepas.

Peluang pekerjaan tetap cukup dengan pekerjaan baharu yang diwujud dan kekosongan jawatan yang besar, didorong terutamanya oleh pekerja mahir.

Rasionalisasi pekerjaan keba­nyakannya adalah pada peringkat yang lebih rendah kerana automasi mula berlaku pada skala yang lebih besar dalam sektor ini, katanya.

Lebih banyak program latihan yang memberi tumpuan kepada kepakaran dalam permintaan yang diperlukan oleh lebih banyak kerja yang berintensif pengetahuan dan teknologi perlu dilakukan untuk mengisi jurang pekerjaan berkemahiran tinggi ini.

“Pemberhentian pekerja kekal rendah pada 775 orang pada suku tersebut dan diatasi kombinasi pekerjaan baharu yang diwujud sebanyak 1,170 jawatan dan stok kerja kosong yang tinggi sedia ada sebanyak 5,609 jawatan,” kata bank itu.

Mengenai kerahsiaan perban­k­an dan perlindungan kerahsiaan maklumat pelanggan yang dilin­dungi dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, BNM berkata, kerahsiaan adalah asas keyakinan dalam sistem perbankan, oleh itu, adalah penting bahawa kerah­siaan dalam sistem perbankan dipelihara setiap masa.

“Orang awam harus yakin de­ngan keselamatan dan kerahsiaan deposit mereka dan berurusan dengan bank mereka dan keyakinan terhadap integriti dan tatalaku profesional bank mereka,” tegasnya.

Kerahsiaan ini diperuntukkan di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA 2013) dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewa­ngan Islam 2013 (IFSA 2013).

“Peruntukan kerahsiaan de­ngan jelas melarang mana-mana orang, termasuk pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan untuk mendedahkan dengan tidak wajar kepada orang lain apa-apa dokumen atau maklumat yang berhubung dengan hal eh­wal atau akaun pelanggan ins­titusi kewangan,” katanya.

Bank juga dikehendaki mempunyai tadbir urus yang betul dan kawalan dalaman yang berkesan untuk mengekalkan kerahsiaan pelanggan.

“FSA 2013 dan IFSA 2013 juga memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang mela­porkan kesalahan yang serupa dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 selagi prosedur yang betul diikuti, contoh­nya melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” tambahnya. – BERNAMA