Menurut Jabatan Perangkaan, pengembangan KDNK itu didorong oleh peningkatan prestasi semua komponen pendapatan diterajui oleh Lebihan Kendalian Kasar (LKK) yang mencatatkan RM732.3 bilion.

Jelasnya, pampasan pekerja (PP) mencapai nilai RM433.7 bi­lion. Cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import kukuh pada RM64.2 bilion.

“Sumbangan PP kepada ekonomi Malaysia berkembang kepada 35.3 peratus dan meningkat kepada 7.7 peratus (2015: 6.2 peratus) yang mana sebahagian besar didorong oleh perkhidmatan dan pembuatan.

“Cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import telah membentuk 5.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan dan mencatatkan pertumbuhan dua digit 13.5 peratus (2015: 71.1 peratus),” jelas jabatan itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Jabatan Perangkaan, perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah PP dengan sumbangan 60.7 peratus diikuti pembuatan berjumlah 22.8 peratus pada 2016. Pembinaan pula berkembang kepada 10.1 peratus berbanding 9.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Selain itu, pertanian, perlombongan dan pengkuarian masing-masing mencatatkan sumbangan 4.7 peratus dan 1.7 peratus.

“PP berkembang kepada 7.7 peratus sebahagian besarnya dipacu oleh perkhidmatan yang mengukuh kepada 7.7 peratus. Momentum perkhidmatan lain (termasuk perkhidmatan kerajaan) yang meningkat kepada 6.5 peratus menerajui perkhidmatan,” jelas jabatan itu.

Tambah Jabatan Perangkaan, prestasi PP bagi pembuatan merekodkan 6.2 peratus disokong oleh produk elektrik, elektronik dan optikal dengan mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus.

Pembinaan pula jelasnya, terus mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi enam tahun berturut-turut dengan mencatatkan 10.1 peratus pada 2016. Pertanian pulih kepada 9.9 peratus daripada negatif 0.2 peratus tahun lepas disebabkan oleh pemulihan dalam semua segmen. Selain itu, perlombongan dan pengkuarian melonjak kepada 5.7 peratus berbanding 0.8 peratus pada tahun sebelumnya.

“Sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi, perkhidmatan menyumbang 52 peratus kepada jumlah LKK pada 2016 diikuti oleh pembuatan pada 22.1 peratus,” jelasnya.

Perlombongan, pengkuarian dan pertanian masing-masing menyumbang 13.1 peratus dan 11.1 peratus. Sementara itu, pembinaan mencatatkan sumbangan 1.7 peratus. Memandangkan LKK menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK, pertumbuhan komponen ini adalah selari de­ngan prestasi ekonomi.

Pada 2016, LKK berkembang kepada 4.8 peratus berbanding 0.6 peratus pada tahun sebe­lumnya. Perkhidmatan mengukuh kepada 6.3 peratus didorong oleh perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan, manakala pertanian pulih kepada 8.9 peratus berikutan pertumbuhan positif dalam semua segman.

“Momentum LKK dalam pembuatan meningkat 2.8 peratus disokong sebahagian besarnya oleh produk elektrik, elektronik dan optikal yang tumbuh pada 9.1 peratus. Selain itu, perlombongan dan pengkuarian pulih kepada 0.4 peratus, manakala pembinaan mencatatkan pertumbuhan 0.1 peratus disokong oleh prestasi kejuruteraan awam dan aktiviti kediaman,” jelasnya. – BERNAMA