Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, data sumbangan segmen itu pada tahun lalu walau bagaimanapun masih belum diumumkan oleh Jabatan Statistik dan ia dianggarkan sekitar 18 peratus.

Katanya, ekonomi digital memiliki potensi luas untuk terus tumbuh mengambil kira perubahan dunia yang memerlukan unsur-unsur digital.

Ujar beliau, syarikat permulaan terdiri daripada usahawan muda kini lebih memilih menggunakan teknologi digital bagi menjalankan perniagaan kerana ia memerlukan modal yang rendah.

“Manfaat daripada ekonomi digital dapat diperluaskan lagi sekiranya diguna pakai oleh semua sektor awam dan juga swasta,” katanya selepas majlis pembentangan Laporan Pembangunan Dunia Dividen Digital oleh Kumpulan Bank Dunia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Yasmin Mahmood dan Pengurus Negara Bank Dunia untuk Malaysia, Faris Hadad-Zervos.

Dividen Digital bertindak sebagai pemangkin yang berupaya memperluaskan manfaat daripada penggunaan teknologi terkini.

Bilangan pengguna Internet dalam tempoh satu dekad telah meningkat tiga kali ganda dan dianggarkan berjumlah 3.2 bilion pengguna pada akhir 2015.

Mengenai perkembangan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Irwan memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan beberapa penerima kontrak anugerah pada 13 Mac ini.

Beliau dalam pada itu menyuarakan keyakinan bahawa kontrak pembinaan lebuh raya itu akan diberi secara adil kepada kontraktor tempatan Sarawak.