Menurut Laporan Ekonomi Digital Malaysia yang dikeluarkan World Bank Group, ekonomi digital negara meningkat secara puratanya sebanyak sembilan peratus setahun sejak 2010 hingga 2016, lebih pantas daripada pertumbuhan Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK).

Ketua Ekonomi World Bank Group, Richard Record berkata, segmen e-dagang terutama­nya terus mencatatkan pe­ningkatan dan dijangka melebihi RM110 bilion atau 40 peratus daripada ekonomi digital menjelang 2020.

“Malaysia juga merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan yang melebihi peningkatan ekonomi digital kebanyakan negara berpendapatan tinggi di dunia,” katanya dalam Laporan Ekonomi Digital Malaysia.

Ekonomi digital Malaysia masih didominasi oleh pemacu pertumbuhan tradisionalnya iaitu pembuatan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT).

“Pada 2015 sahaja, 17.8 peratus daripada KDNK negara disumbangkan oleh ekonomi digital dengan 13.1 peratus daripadanya adalah daripada sektor teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya.

Beliau berkata, segmen runcit e-dagang Malaysia juga dilihat masih kecil jika dibandingkan dengan negara-negara maju dan serantau disebabkan oleh keka­ngan infrastruktur telekomunikasi seperti sambungan jalur lebar tetap menjadi halangan terutamanya kepada PKS.

“Walau bagaimanapun, ia adalah komponen yang paling pesat berkembang dan ia mempunyai potensi besar jika cabaran infrastruktur dan keusahawanan dapat diatasi,” katanya.

Berdasarkan Laporan Ekonomi Digital Malaysia, Malaysia telah melakukan banyak perkara yang tepat untuk mempromosikan ekonomi digitalnya sebagai satu daripada enjin pertumbuhan baharu ekonomi negara.

Katanya, ia dapat dilihat dari pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam sehinggalah memperluas perhubu­ngan bagi mempromosikan keusahawanan digital.

Menurut laporan itu, prestasi masa lalu Malaysia telah menawarkan keyakinan besar me­ngenai masa depan ekonomi digitalnya.

Bakat keusahawanan tempatan juga telah menyebabkan penubuhan beberapa syarikat permulaan digital yang paling dikenali di Asia Tenggara.

Pada 2016, Malaysia juga menjadi negara pertama di dunia yang menubuhkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), zon perdagangan khas yang menyediakan platform terkini untuk PKS mempromosikan e-dagang.