Wartawan Utusan Malaysia, NUR HANANI AZMAN mendapatkan pandangan daripada Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid bagi mengupas lebih lanjut tentang kitaran ekonomi dan apa yang boleh diharapkan
pada 2019.

Tahun 2018 menyaksikan ekonomi Malaysia mengalami naik turun berikutan persekitaran di dalam negara mahupun luar. Bagaimana ia memberi impak terhadap kitaran ekonomi sepanjang tahun ini?

Mohd. Afzanizam Abdul Rashid: Prestasi ekonomi Malaysia pada tahun ini rata-rata­nya adalah perlahan berbanding 2017 yang mana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada sembilan bulan pertama adalah berkadaran 4.7 peratus berbanding 5.9 peratus bagi tempoh sama tahun lalu. Faktor utama kelembapan tersebut adalah pertumbuhan eksport yang kian perlahan pada suku kedua dan menguncup pula pada suku ketiga. Perkara ini disebabkan oleh ketidaktentuan di dalam permintaan luaran berikutan kebimbangan terhadap suasana perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. Di samping itu, kelembapan pelaburan awam juga mempengaruhi momentum pertumbuhan ekonomi domestik meskipun disokong pertumbuhan perbelanjaan swasta yang meningkat tinggi.

Sifar GST selama tiga bulan bermula Jun hingga September dikatakan dapat bantu kitaran ekonomi. Apakah faktor lain yang dapat memacu kitaran itu?

Pengurangan kadar GST kepada sifar dilihat banyak membantu dalam merancakkan sentimen para pengguna. Perkara ini jelas kelihatan apabila Indeks Sentimen Pengguna yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melonjak ke paras 132.9 mata pada suku kedua dan paras indeks kekal melebihi 100 mata pada suku ketiga. Peningkatan indeks ini menunjukkan rata-rata para pengguna mempunyai tanggapan yang positif terhadap suasana ekonomi semasa berikutan terdapatnya penurunan harga barangan apabila kadar GST disifarkan. Ia umpama suatu rangsangan fiskal dan kesannya kepada ekonomi adalah dalam kadar segera. Sema­ngat optimistik ini dapat di­realisasikan berikutan kestabilan di dalam pasaran buruh dan pendapatan pekerja yang membolehkan mereka berbelanja. Nisbah penggunaan swasta kepada KDNK adalah 57.5 peratus pada suku ketiga dan ia merupakan nisbah terbesar dalam komponen permintaan domestik. Oleh itu, sebarang perubahan di dalam trend pertumbuhan perbelanjaan swasta akan memberikan signfikan kepada pertumbuhan ekonomi.

Apakah hubung kait keyakinan pelabur dan kitaran ekonomi?

Kebiasaannya, kitaran ekonomi yang menurun akan memberi kesan kepada peruntukan aset pelaburan yang mana para pelabur cenderung me­labur dalam instrumen pelaburan berisiko rendah seperti simpanan tetap, bil-bil perbendaharaan dan bon-bon yang diterbitkan oleh kerajaan. Peralihan portfolio kepada instrumen berisiko rendah akan memberi kesan kepada harga instrumen pelaburan yang berisiko tinggi seperti ekuiti. Pergerakan harga saham atau indeks di bursa lazimnya mencerminkan prospek pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang. Oleh itu, kejatuhan harga saham menandakan prospek ekonomi yang lebih mencabar.

Bagaimana pula dari segi kualiti pertumbuhan, kete­rangkuman pertumbuhan ke hadapan dan bagaimana setiap rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kejayaan ekonomi?

Seharusnya pertumbuhan ekonomi dapat memanfaatkan kesemua rakyat jelata. Namun, jurang pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah masih lagi berlaku. Selain itu, arus perubahan teknologi yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0 dijangka memberi kesan yang signifikan kepada pasaran buruh terutama bagi pekerja berkemahiran rendah. Isu-isu ini merupakan perkara jangka panjang yang memerlukan perancangan rapi bagi menemui jalan penyelesaiannya. Dalam hal ini, fokus kerajaan bagi meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah tepat berikutan potensinya yang besar bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rak­yat tempatan. Di samping itu, jumlah graduan yang kian me­ningkat saban tahun mungkin dapat diserap dengan lebih cekap ke dalam sektor PKS. Sehubungan itu, perlu ada koordinasi yang tinggi antara agensi kerajaan dan kementerian berkaitan bagi memastikan agenda memperkasakan sektor PKS dapat direalisasikan.

Unjuran pertumbuhan eko­nomi pada 2019?

KDNK pada 2019 diunjur tumbuh pada kadar 4.5 peratus daripada 4.8 peratus yang juga merupakan jangkaan kami bagi 2018. Perkara ini berdasarkan jangkaan perbelanjaan swasta yang dijangka kembali kepada pertumbuhan trend iaitu sekitar 6.9 peratus. Di samping itu, sentimen berhati-hati dalam kalangan pengusaha akan menyebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan di dalam pelaburan swasta dan ketidaktentuan permintaan luaran dijangka memberi impak kepada eksport negara. Suasana kadar faedah yang tinggi di negara maju terutama AS juga me­nyumbang kepada kesan negatif terhadap momentum pertumbuhan mereka. Oleh itu, prospek pertumbuhan ekonomi global dijangka lebih mencabar pada 2019 berikutan faktor perang dagangan antara AS dan China, ketidakpastian harga minyak dunia dan rundingan Brexit yang masih belum me­nemui kata putus.