MUSTAPA MOHAMED

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, buat ketika ini, sebanyak 58,824 perniagaan dalam talian tempatan telah mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, kementerian me­nyasarkan penyertaan sebanyak 10,000 syarikat eDagang dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) menjelang hujung tahun ini daripada 1,998 syarikat pada pelancaran November tahun lalu.

“Angka daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan ekonomi digital mewakili 18.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2016, sementara penguasaan eDagang kepada KDNK pula 6.1 peratus berban­ding 5.9 peratus tahun 2015.

“Sembilan daripada 10 perniagaan di Malaysia adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), 28 peratus daripadanya mempunyai kehadiran secara dalam talian dan 15 peratus lagi telah menggunakan platform itu untuk mengeksport,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Digital Ekonomi Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri J. Jayasiri; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Ir. Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Datuk Dr. Hafsah Hashim.

Forum dengan tema ‘Mentransformasi Perniagaan dan Masyarakat menerusi eDagang’ itu disertai 3,000 peserta, sebahagian besarnya PKS dan pemain logistik dalam ekosistem perniagaan digital, serta orang awam.

Sementara itu, Mustapa memberitahu, kabinet dijangka mengeluarkan pengesahan rasmi terhadap penyertaan Malaysia di dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak lama lagi.

“Saya telah menyampaikan taklimat mengenai rundingan perjanjian CPTPP ini di dalam kabinet, dan saya menjangkakan kita dapat menerima pengesahan formal daripada kabinet sendiri tidak lama lagi,” kata beliau.