Malah, individu berusia 55 tahun kini sudah tahu untuk membeli telekung menerusi Instagram. Ini kerana, ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan yang turut didorong perkhidmatan internet berpatutan dan platform membeli-belah dalam talian yang mesra pengguna. Ia tidak lagi rumit.

Namun, apa yang membimbangkan sekarang adalah kes penipuan siber melibatkan produk tiruan, transaksi bayaran atau kualiti sesuatu produk serta keselamatan data pengguna.

Mengupas tentang isu ini, wartawan Utusan Malaysia, NUR HANANI AZMAN bertanyakan pendapat Pengarah Urusan Serantau Shopee, IAN HO, antara pemain industri yang pakar mengenai perniagaan e-dagang berkenaan.

Bagaimana Shopee membina kepercayaan dalam kalangan pengguna dan pembeli terhadap perniagaan e-dagang?

Sama seperti apa-apa hubungan, kepercayaan tidak boleh dibina sekelip mata. Pertama sekali, Shopee berusaha keras untuk menjadi jenama yang dikenali. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami secara konsisten telah memperkukuhkan inisiatif pemasaran, usaha perhubungan awam dan juga menjalankan banyak perkongsian strategik untuk mendapat pengiktirafan jenama dan kepercayaan. Antara kerjasama ini termasuk dengan selebriti terkemuka Malaysia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Izara Aishah, Nora Danish, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Zoey Rahman dan Nana Mahazan. Pada 12 Disember lalu, Shopee menerima lebih 12 juta pesanan di seluruh rantau ini, mengatasi semua rekod sebelum ini termasuk Jualan Besar-Besaran 11.11 Shopee baru-baru ini. Disokong oleh lebih daripada 450,000 jenama dan rakan dagang, Shopee menerima 48 juta kunjungan yang menyaksikan pengguna memanfaatkan 60 juta tawaran dalam semua kategori.

Bagaimana pula dari segi jaminan terhadap barangan yang dibeli?

Semua produk yang disenaraikan dilindungi oleh Jaminan Shopee, ciri yang mana pembayaran kepada penjual ditahan sehingga pembeli mengesahkan mereka menerima tempahan itu dalam keadaan baik. Ciri ini bertujuan meningkatkan pengalaman pengguna dengan memastikan transaksi yang selamat. Bagi menyokong sistem itu, kami memberi insentif kepada pembeli kami dengan syiling Shopee apabila mereka mengesahkan penerimaan tempahan. Duit syiling Shopee boleh ditebus sebagai tunai untuk pembelian akan datang atau boleh digunakan menebus baucar dan diskaun daripada jenama yang mengambil bahagian dan rakan luar di laman Ganjaran Syiling Harian Shopee. Selain itu, pada Oktober 2018, kami melancarkan Shopee Mall, sebuah portal dalam aplikasi menampilkan jenama rasmi dan peruncit. Shopee Mall menawarkan keaslian 100 peratus atau 2x jaminan wang kembali, polisi pulangan 15 hari dan penghantaran percuma di seluruh negara dengan objektif untuk meningkatkan tahap keyakinan pembeli apabila membeli-belah dalam talian.

Apakah cara untuk mengenal pasti penjual yang boleh dipercayai jika mereka bukan penjual Shopee Mall.

Berikut adalah beberapa panduan:

* Cari penjual Shopee Pilihan. Untuk menjadi penjual Pilihan, mereka mesti aktif, mendapat penilaian kedai yang tinggi dan perkhidmatan pelanggan yang baik sebelum mereka layak untuk menjadi penjual Shopee Pilihan.

* Baca juga ulasan pelanggan dan menyemak bukan sahaja senarai produk tetapi juga senarai kedai penjual sebelum membuat pembelian.

Bagaimana memastikan pembeli tidak tertipu dengan penjual memandangkan tiada syarat khusus untuk menjadi penjual di Shopee?

Shopee komited melindungi kepentingan semua pelanggan-pelanggan kami dan menawarkan persekitaran membeli-belah yang selamat dan terjamin. Kami mengamalkan toleransi sifar terhadap penipuan. Kami mempunyai senarai pasukan yang kerap menapis melalui senarai produk bagi memastikan mereka tidak melanggar peraturan. Sekiranya terdapat amaran terhadap produk yang melanggar peraturan atau tidak memenuhi syarat-syarat keselamatan tertentu, Shopee akan segera menjalankan siasatan dan melaksanakan tindakan susulan yang perlu. Kami juga mempunyai langkah tambahan bagi memastikan kualiti penjual kami. Semua penjual dipantau melalui Sistem Prestasi Penjual, yang memastikan penjual tidak melakukan apa-apa senarai pelanggaran atau kesalahan lain. Tindakan diambil terhadap penjual yang tidak mematuhi garis panduan. Pengguna boleh melihat kedudukan kedai kadar maklum balas dan penilaian produk di kedai-kedai individu, yang membolehkan mereka membuat keputusan pembelian yang lebih jelas.

Perlukah undang-undang digubal untuk mengawal perniagaan e-dagang?

Seperti mana perniagaan lain, tadbir urus adalah penting dan begitu juga undang-undang. Itulah sebabnya Malaysia mempunyai Akta Perdagangan Elektronik 2006 (ECA) di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang mengawal transaksi e-dagang dalam sektor swasta. Ia dilengkapi dengan Akta Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007 yang mengawal selia sektor awam. Di samping itu, Malaysia juga mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang mengawal selia sebarang pemprosesan data peribadi berkenaan dengan transaksi komersial,dan ini juga termasuk urus niaga yang berlaku pada platform e-dagang.