MADANI SAHARI

Ketua Pegawai Eksekutif Ins­titut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari berkata, jumlah sebenar hanya akan diketahui pada tarikh akhir memandangkan terdapat beberapa pihak yang belum memuktamad­kan kertas cadangan mereka.

“Setakat ini kami telah mene­ri­ma dua kertas cadangan, namun perlu menunggu sehingga tarikh akhir bagi mengetahui jumlah sebenar. Jika ramai yang mahu terlibat sama dengan projek ini mereka perlu menghantar kertas cadangan secara rasmi kepada Kementerian Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri (MITI) .

“Setiap penyertaan akan diteliti sekiranya idea mereka menepati apa yang dihasratkan oleh kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MAI dan Proton Holdings Berhad (Proton) di sini hari ini.

Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mei lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad memba­yangkan Malaysia bakal memiliki satu lagi projek kereta nasional setelah pemilikan Proton kini sebahagiannya dijual kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely).

Menurut beliau, projek berkenaan akan dibiayai oleh pelaburan swasta sepenuhnya dan tidak menggunakan dana awam.

Bulan lalu, MITI mempelawa penggiat dalam industri automotif untuk mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan me­ngenai projek tersebut dan cadangan mereka akan dikaji oleh pelbagai agensi termasuk MAI.

Mengenai sasaran untuk mengeluarkan prototaip kereta nasional pada 2019, Madani berkata, cadangan yang dihantar akan dinilai dengan teliti.

Katanya, maklumat seperti jangkaan bila prototaip pertama boleh disiapkan serta proses pengeluaran boleh mula dilakukan semuanya akan dijelaskan dalam kertas cadangan tersebut.

“Apabila semua penyertaan te­lah dihantar baharu kita akan mendapat kepastian dan gambaran yang jelas mengenai perkara ini. Buat masa ini kita tunggu dahulu sehingga 15 Oktober,” jelasnya.