Zainal Abidin Jalil
Zainal Abidin Jalil

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Zainal Abidin Jalil berkata, syarikat merancang untuk memperuntukkan pelaburan kira-kira RM50 juta pada tahun ini bagi perbelanjaan modal de­ngan kebanyakan pelaburan adalah untuk perniagaan tenaga.

Katanya, syarikat turut berminat untuk memasuki sektor penjanaan tenaga di Indonesia dan pada masa ini, dalam proses untuk membina loji hidro mini di negara itu dengan kapasiti dua hingga tiga megawatt (mW), selain stesen tenaga geoterma dengan kapasiti 30 mW.

“Indonesia yang memerlukan tenaga mempunyai banyak tawaran, tender dan peluang. Ia juga agak berbeza dan sebab itu kami mengambil bahagian di Indonesia. Tarif juga lebih baik berbanding tempat lain,” kata­nya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambahnya, selain Indonesia, DNeX juga mengambil bahagian dalam proses bidaan bagi ladang solar di dalam negara dan keputusannya dijangka diumumkan pada akhir tahun.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, keun­tungan sebelum cukai DNeX meningkat enam kali ganda kepada RM142.1 juta berbanding RM27.4 juta ba­gi tempoh sama pada 2015.

Perolehan pula meningkat kepada RM178.5 juta berbanding RM92.3 juta sebelum ini.

Zainal Abidin berkata, DNeX menyasarkan perolehan dua ang­ka dan pertumbuhan keuntungan bagi tahun kewangan 2017, dipacu terutamanya oleh perniagaan IT dan e-perkhidmatan selain perniagaan tenaga.

Katanya, syarikat berjaya mem­perluaskan segmen IT dan 
e-perkhidmatan melalui inisia­tif seperti projek Permit Masuk Kenderaan dan Sistem Caj Jalan Raya melibatkan kendera­an pendaftaran luar memasuki Malaysia melalui Johor dan pembangunan Sistem Permit e-Kerja.

“Syarikat terus mengu­kuh­kan kedudukannya dalam me­­­­nyediakan e-perkhidmatan melalui segmen perniagaan kepada kerajaan, selain menembusi perkhidmatan perniagaan kepada perniagaan dan perniagaan kepada pengguna, yang menambah nilai dan melengkapkan penawaran sedia ada,” katanya.