Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX, Datuk Samsul Husin berkata, di bawah perjanjian, DNeX akan menyediakan per­khidmatan perundingan dan khid­mat nasihat keselamatan siber berdasarkan model, metodologi dan jenama EC-Council Global Services (EGS).

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan EC-Council untuk menyediakan perkhidmatan perundingan dan khidmat nasihat berkualiti tinggi dalam pasaran yang semakin berkembang di negara ini.

“EC-Council dengan pengalaman sebagai pendahulu pasaran dapat memberi rangsangan kepada penawaran perkhidmatan ke­selamatan siber sedia ada kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi DNeX, Rodney Lee dan Presiden Kumpulan EC-Council, Jay Bavisi sambil disaksikan oleh Samsul dan Ahli Lembaga EC-Council, Lata Bavisi.

EGS adalah cabang EC-Council yang menawarkan perkhidmatan keselamatan siber komprehensif dan didedikasikan untuk membantu organisasi mengurus postur risiko mereka dengan berkesan.

Sementara itu, Bavisi berkata, EGS menggunakan empat langkah iaitu dengan menilai, menyekat, memperbetul dan mempertahan keselamatan siber dalam persekitaran organisasi pelanggan.

“Dengan perjanjian ini, kami berbangga untuk mengalu-alukan DNeX Technology sebagai rakan firma kami di Malaysia bagi rangkaian EGS.

“DNeX akan menawarkan pendekatan holistik dengan memba­ngunkan rangka kerja keselamatan siber yang membantu mengenal pastikan, perlindungan, pengesanan, tindak balas dan pemu­lihan,” katanya.