Pengerusi Jawatan Kuasa Amalan Percukaian Institut Akauntan Malaysia, Dr. Vee­rinderjeet Singh berkata, satu-satunya sumbangan yang dikecualikan daripada cukai adalah daripada ibu bapa dan orang tersayang kerana ia dianggap sebagai hadiah.

“Jika seseorang mendapat sumbangan bukan daripada kedua orang tua atau kanak-kanak, maka akan ada persoalan yang timbul iaitu kenapa anda mendapatnya?”

“Tetapi perkara ini berbeza jika dana yang diberikan dimasukkan ke parti-parti politik. Ia akan dilihat daripada perspektif yang berbeza,” katanya pada Persidangan Cukai Malaysia 2019.

Beliau ditanya mengenai bil cukai RM1.5 bilion yang diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kira-kira seminggu lalu.

The Edge Markets sebelum ini melaporkan bahawa bil untuk tempoh 2011 hingga 2017 itu merupakan jumlah lain daripada cukai pendapatan yang sudah dibayar Najib selama tujuh tahun.

Menurut sumber, siasatan LHDN mendapati Najib belum mengisytiharkan pendapatan kira-kira RM4 bilion dalam tempoh itu, termasuk RM2.6 bilion dalam akaun peribadi­nya sebelum ini yang didakwa berpunca daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tambah Veerinderjeet, sekiranya sesebuah parti politik menerima sumbangan dana asing maka ia tidak boleh dikenakan cukai sebaliknya ia boleh dikenakan cukai jika dana itu dibelanjakan ke atas harta benda dan sebagainya.

“Tetapi apabila dana itu diterima oleh seorang individu, itu berbeza. Untuk itu amat­lah penting bagi penerima mengenal pasti tujuan utama sumbangan atau derma yang diberikan daripada pemberi asalnya,” katanya.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah berkata, derma asing adalah tertakluk kepada cukai berdasarkan kes.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Cukai 2019 bagaima­na­pun berkata, pihaknya perlu melihatnya berdasarkan fakta dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan secara umum.

“Saya perlu melihat (derma asing) berdasarkan fakta, saya tidak boleh membuat kenyata­an secara umum,” katanya.

Sementara itu ketika dita­nya mengenai Najib yang diminta LHDN untuk membayar cukai bernilai RM1.5 bilion, Sabin berkata, beliau tidak dapat mengulas mengenai perkara itu kerana terikat dengan peruntukan kerahsiaan.