Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam DNC Asiatic Hol­dings, Wan Najib Wan Daud berkata, selain operasi pihaknya turut memiliki kilang pemasangan motosikal di negara berkenaan yang telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Jelas beliau, selain Sri Lanka beberapa buah negara lagi turut dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi seperti di Myanmar, Bangladesh dan Asia Barat.

“Demak meletakkan penanda aras yang tinggi agar dapat bersaing dengan jenama pengeluar motosikal gergasi lain sekali gus memberi gambaran positif terhadap jenama buatan Malaysia ini.

“Penerokaan pasaran luar perlu dilakukan bagi mengukuhkan Demak di peringkat antarabangsa selain memperkenalkan jenama ini di mata dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Najib memberitahu, pihaknya menya­sarkan peningkatan jualan sebanyak 10 peratus pada tahun ini menerusi pelancaran beberapa model baharu pada Mei lalu.

Menurut beliau, beberapa bulan lalu Demak telah merekodkan jualan ketiga tertinggi bagi jumlah keseluruhan industri (TIV).

Katanya, kejayaan itu mencerminkan sokongan dan keyakinan pembeli terhadap jenama berkenaan yang sema­kin meningkat.

“Sebanyak 48,235 buah motosikal Demak telah didaf­tarkan pada 2016. Kami melancarkan lapan model baharu dan beberapa model lama yang dipertingkat berdasarkan permintaan pasaran tempatan dan luar negara.

“Selain Demak, DNC Asiatic Holdings turut memiliki jenama MV Agusta dan diberi hak untuk memasang dan menjual jenama tersebut untuk pasaran tempatan menerusi anak syarikat Moto Varese Asiatic Sdn. Bhd.,” ujarnya.