Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, ia disebabkan peningkatan eksport dan pelbagai inisiatif oleh kedua-dua negara bagi memperbaiki imbangan perdagangan, walaupun harga komoditi belum pulih.

“Usaha seperti penganjuran pelbagai ekspo, pengenalan strategi pasaran, pewujudan zon perdagangan bebas dan lawatan pegawai tinggi kedua-dua negara telah membantu mengukuhkan daya tahan perdagangan kita,” tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Forum Perniagaan Malaysia Platform Penggalakan Perdagangan Perusahaan Kecil dan Sederhana China ASEAN (CASTPP) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros.

Statistik menunjukkan hubu­ngan dua hala antara Malaysia dan China meningkat 24.1 peratus tahun ke tahun kepada RM237.96 bilion antara Januari dan Oktober 2017, dengan eksport ke China melonjak 33.5 peratus tahun ke tahun kepada RM103.32 bilion.

Import dari China juga mening­kat 17.8 peratus tahun ke tahun kepada RM134.64 bilion dalam tempoh yang sama.

Mengenai CASTPP, Tee Yong berkata, syarikat Malaysia telah mengeksport produk bernilai RM900,000 ke Pelabuhan Qinzhou, China melalui platform tersebut setakat ini.

Dilancarkan pada Disember tahun lalu, CASTPP adalah platform dalam dan luar talian yang menawarkan penyelesaian sehenti untuk pelepasan kastam bagi PKS yang mengeksport ke China.

Forum hari ini mengetengahkan manfaat dan peluang CASTPP, inisiatif Satu Jalur Satu Jalan, pembiayaan perdagangan serta pengetahuan pasaran di China.

Sesi penyumberan produk juga dijalankan melibatkan 20 pembeli dari tanah besar China serta 25 pembekal Malaysia daripada industri makanan dan minuman. – BERNAMA